ULASAN | Terdapat satu keputusan menarik dalam Pilihan Raya Negeri Sembilan baru-baru ini.
Kehadiran calon dari parti Berjasa iaitu Ustaz Zamani Ibrahim menarik perhatian bila undi yang diperoleh beliau dikira agak tinggi dan signifikan.
Keputusan rasmi bagi kerusi N10 Nilai dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 menyaksikan kemenangan berpihak kepada calon Pakatan Harapan (PH-DAP), J Arul Kumar dengan majoriti sebanyak 5,937 undi.
Dr Arul Kumar selaku penyandang untuk 3 penggal berjaya mempertahankan kerusi tersebut dalam persaingan lima penjuru.

Berikut adalah perincian penuh jumlah undi yang diperoleh oleh setiap calon mengikut data rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR):
1. J Arul Kumar (PH-DAP): 15,797 undi (menang)
2. Lai Chien Kong (BN-MCA): 9,860 undi
3. Zamani Ibrahim (Berjasa): 5,844 undi
4. Datuk V Saravana Kumar (PN-Bersatu Bersekutu): 718 undi
5. Omar Mohd Isa (Bebas-Kunci): 167 undi
BACA BERKAITAN: Hampir semua deposit Bersatu hangus, Berjasa pula kekal deposit
Pada Pilihan Raya Negeri Sembilan 2023, Dr Arul Kumar (PH-DAP) memperoleh sebanyak 19,133 undi bagi kerusi Nilai. Undi beliau berkurang 3,136 berbanding sekarang. Satu jumlah yang tidaklah begitu besar.

Jika dicampurkan undi-undi calon lain khususnya dari BN-MCA dan Berjasa saja, jumlahnya hampir menyamai undi Dr Arul Kumar dengan defisit hanya 93 undi.
Berbanding dengan calon parti Bersatu sebagai parti yang lebih besar yang memperoleh 718 undi, jumlah undi Ustaz Zamani dikira agak besar sebanyak 5,844 undi.
Ustaz Zamani Ibrahim berasal dari Rembau, Negeri Sembilan adalah Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) sejak 27 Mac 2021. Beliau pernah menjadi Yang Dipertua Pertubuhan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Cawangan Seremban dari 2011–2016.
Pada 2022, beliau pernah bertanding dalam PRU-15 di bawah tiket Gerakan Tanah Air (GTA) (kalah dan hilang deposit).

Komposisi pengundi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nilai di Negeri Sembilan tahun ini mencatatkan seramai 45,911 pengundi berdaftar dengan pecahan demografi utama mengikut etnik dianggarkan merangkumi sekitar 43.3 peratus hingga 47 peratus pengundi Melayu, 31 peratus hingga 31.9 peratus pengundi Cina, serta 21 peratus hingga 21.6 peratus pengundi India.
Bermakna majoriti pengundi DUN Nilai adalah bukan Melayu.
Dengan apa yang dicanang sebagai penyatuan Ummah/Melayu, gelombangnya sedikit sebanyak mempengaruhi keputusan ini.
Kehadiran Ustaz Zamani pada asasnya menarik pengundi Melayu khususnya dari Umno berbanding PAS yang dilihat lebih taat kepada arahan pihak atasan untuk mengundi calon BN-MCA.

Maka dari keputusan ini kita boleh membuat rumusan kehadiran satu figura yang boleh diterima dalam masyarakat di satu-satu kawasan itu sama ada DUN mahupun Parlimen boleh memecahkan undi yang sepatutnya diperoleh oleh BN-PN ataupun PBN (sebagaimana singkatan yang dicadangkan oleh Dato’ Seri Hamzah Zainuddin sebelum ini).
Maka menghadapi PRU16 nanti, satu strategi yang boleh disusun oleh Pakatan Harapan selain usaha merapatkan balik dan merangkul kekuatan ahli-ahli yang renggang pasca pemilihan parti tahun lepas adalah mewujudkan tokoh-tokoh masyarakat tempatan yang boleh memecahkan undi BN-PN ini berdasarkan komposisi di setiap tempat mengundi.
BN-PN tidak boleh mendabik dada bahawa mereka sekarang mempunyai kekuatan sokongan majoriti Melayu kerana ianya tidak semestinya diterjemahkan di peti-peti undi.
Tidur sebantal mimpi lain-lain
Sama ada di kalangan pengundi-pengundi Melayu dari Umno dan PAS sendiri mahupun pengundi bukan Melayu yang lebih-lebih lagi rasa kurang selesa bila menjadi semakin kurang dan minoriti dalam gabungan parti-parti Melayu ini, tentunya ia satu ikatan yang tidak menjanjikan kekuatan yang diharapkan.

Peribahasa yang menyebut umpama tidur sebantal tetapi mimpi lain-lain pastinya satu cabaran yang tidak senang untuk diatasi dalam keterbatasan masa yang ada.
Dengan gelanggang yang semakin terbuka untuk PRU16 diadakan, PRN seterusnya iaitu Melaka akan menjadi penyuluh kepada sejauh mana pertembungan sebenar yang akan berlaku nanti. Sama-sama nantikan.
ROSLI ALLANI ABDUL KADIR ialah mantan ahli Majlis Pimpinan Negeri PKR Kelantan.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
