Ahli Parlimen DAP, Fong Po Kuan hari ini mengumumkan beliau tidak akan mempertahankan kerusi Batu Gajah dalam pilihanraya umum akan datang.

Malah, beliau memutuskan tidak akan bertanding mana-mana kerusi dalam pilihanraya umum kali ini.

"Keputusan saya muktamad," kata Fong dalam satu sidang akhbar di pusat perkhidmatan DAP Batu Gajah pagi tadi.

dap dompok and sexist remarks pc 170507 fong poh kuan “Saya mengadakan sidang akhbar hari ini adalah untuk mengumumkan keputusan saya tidak menawarkan diri untuk bertanding dalam pilihanraya umum ke-12," katanya yang turut mengejutkan para pembantunya, penyokong serta wartawan yang hadir.

Beliau tidak memberi sebarang sebab dalam sidang akhbar tersebut. Bagaimanapun, terdapat spekulasi ia mungkin berpunca daripada masalah dalaman parti tersebut.

Fong berkata, beliau telah menyampaikan keputusannya kepada pemimpin veteran parti itu, Lim Kit Siang - salah seorang anggota jawatankuasa pemilihan calon DAP untuk bertanding dalam pilihanraya umum kali ini.

“Saya telah memberitahu Kit Siang bahawa saya akan kemukakan alasan keputusan saya itu secara bertulis kepada setiausaha agung," tambahnya.

Fong juga mendedahkan bahawa Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng telah menghubunginya melalui telefon malam tadi untuk memaklumkan kepadanya bahawa beliau telah dicalonkan semula untuk bertanding di Batu Gajah.

'Ekoran perkembangan dalaman'

Bagaimanapun, kata Fong, beliau telah menghantar emel kepada Guan Eng pagi ini mengenai keputusannya untuk tidak akan bertanding.

Salinan emelnya kepada Guan Eng itu turut diedarkan sewaktu sidang akhbar tersebut.

jag anti sexist parliament protest 150507 fong poh kuan Dalam emel itu, beliau menulis bahawa ia merupakan satu keputusan yang sukar kerana DAP telah menjadi keluarga keduanya dan penduduk kawasan Parlimen Batu Gajah sudah menjadi begitu istimewa kepadanya sejak lapan tahun lalu.

Fong memberitahu Guan Eng bahawa perkembangan dalaman DAP Perak sejak beberapa tahun yang lalu dan juga yang semasa, membuatnya sukar bagi beliau untuk terus berkhidmat secara cekap, berkesan dan sepenuh hati.

“Dalam keadaan tersebut dan demi kepentingan semua pihak, saya telah membuat keputusan yang amat sukar dan tidak dapat dielak ini," katanya.

Dalam sidang akhbar tersebut, Fong juga mengambil peluang itu untuk mengucapkan terima kasih kepada penduduk Batu Gajah kerana sokongan dan keyakinan mereka kepadanya selama ini.

Dalam emelnya kepada Guan Eng itu, Fong mencadangkan supaya parti mencalonkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Pasir Panji bertanding kerui Parlimen Batu Gajah.

Malaysiakini melaporkan pada 15 Februari lalu bahawa Fong berdepan dengan tekanan dari kepimpinan DAP negeri supaya melepaskan kerusi Parlimen Batu Gajah dan bertanding di tempat lain.

Difahamkan, DAP negeri mahu Adun Pantai Remis, Nga Kor Ming bertanding di Batu Gajah.

Bagaimanapun, Pengerusi DAP Perak, Ngeh Koo Ham menafikan perkara itu.

.