Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hadi anggap pendirian BN Melaka cuma pendapat peribadi

Abdul Hadi Awang menyifatkan kenyataan BN yang gabungan itu mahu mempertahankan semua 21 kerusi DUN yang dimenanginya mereka dalam PRN akan datang hanya sebagai pandangan peribadi.

Penegasan itu dibuat Presiden PAS berkenaan meskipun pendirian berkenaan disebut sendiri secara terbuka oleh pemimpin tertinggi BN, Ahmad Zahid Hamidi, yang memetik pandangan Pengerusi BN Melaka, Ab Rauf Yusoh.

"Itu kenyataan peribadi dan kita masih berbincang," katanya yang ditemui media selepas menyampaikan kuliah mingguan di Masjid Rusila, Marang, hari ini.

Tambah Abdul Hadi, rundingan pembahagian kerusi di antara parti komponen kerajaan negeri dan PN masih lagi berlangsung ketika ini.

Dia yang juga Ahli Parlimen Marang sekali lagi menegaskan rundingan pembahagian kerusi berkenaan akan mengambil kira pelbagai faktor terutamanya kekuatan setiap parti.

Ia termasuk, katanya, penguasaan sesebuah parti ke atas kerusi DUN dan parlimen.

Semalam Malaysiakini melaporkan pendirian BN yang tidak akan menyerahkan mana-mana 21 kerusi yang dimenangi mereka dalam PRN 2021 kepada mana-mana parti.

Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi, mengesahkan yang Ab Rauf berpendirian begitu.

Rundingan akan diteruskan

Ia ditegaskan ketika BN dan PN bersedia menjalin hubungan kerjasama sekali lagi selepas di Johor dan Negeri Sembilan.

Secara keseluruhan DUN Melaka mempunyai 28 kerusi. Selain 21 kerusi yang dipegang BN Melaka, lima yang lain dikuasai PH, manakala dua yang lain – Sungai Udang dan Bemban – dimenangi PN.

Di peringkat parlimen pula BN gagal memenangi mana-mana enam kerusi yang ada. Tiga daripadanya dimenangi PN manakala baki tiga lagi PH.

Sementara itu, diminta mengulas pendekatan PAS terhadap kerjasama dengan BN di Melaka, Abdul hadi berkata, situasi politik di negeri itu berbeza berbanding Johor dan Negeri Sembilan, justeru perlu dinilai berdasarkan kedudukan semasa parti-parti yang membentuk kerajaan.

Di kerusi parlimen, katanya, PAS mempunyai dua wakil manakala satu lagi wakil Bersatu – yang kini berpihak kepada Wawasan.

"Di peringkat parlimen BN tak ada kerusi, sebab itu kena ambil kira semua itu dan kita akan terus berunding dari semasa ke semasa," katanya.

Bekas duta khas bertaraf menteri itu juga menjelaskan rundingan awal mengenai pembahagian kerusi telah diadakan dan akan diteruskan dari semasa ke semasa.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS