Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bersatu masih anggota PN, Hadi tiada kuasa veto - Azmin
Diterbitkan:  Aug 7, 2026 4:20 PM
Dikemaskini: 8:48 AM

Setiausaha Agung Bersatu, Azmin Ali, membidas kenyataan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, yang mendakwa keanggotaan parti itu dalam PN tergugur secara automatik.

Azmin menegaskan dakwaan tersebut bercanggah dengan Perlembagaan PN kerana tiada mana-mana fasal yang memperuntukkan pengguguran keanggotaan sesebuah parti secara unilateral.

"Kedudukan Bersatu hanya boleh dimuktamadkan oleh Majlis Presiden mengikut Fasal 7A Perlembagaan PN, dan sehingga kini majlis berkenaan tidak pernah bersidang bagi membuat keputusan mengenai perkara tersebut.

"Presiden PAS tidak mempunyai apa-apa hak atau kuasa veto untuk menentukan kedudukan Bersatu dalam PN.

"Kenyataan semberono beliau menunjukkan bahawa dia tidak mempunyai pengetahuan asas mengenai Perlembagaan PN," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sebelum ini, Abdul Hadi mendakwa PAS menganggap secara rasmi bahawa Bersatu bukan lagi sebahagian daripada keluarga PN.

Kedudukan itu diputuskan selepas Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, menyatakan hasrat parti itu untuk menubuhkan pakatan politik baru.

Malah, Abdul Hadi menyifatkan Bersatu “terjerat sendiri” dalam percaturan politik mereka.

Mengulas lanjut, Azmin turut mendakwa tindakan Pengerusi PN, Ahmad Samsuri Mokhtar, dan Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan, yang menghalang wakil Bersatu daripada menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi pada 16 Julai lalu sebagai satu pelanggaran serius terhadap perlembagaan gabungan itu.

"Mesyuarat tersebut difahamkan telah membuat keputusan berhubung pengagihan kerusi dan kerjasama dengan BN bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

"Merujuk kepada Fasal 7.1 Perlembagaan PN yang menetapkan bahawa setiap parti anggota mempunyai hak sepenuhnya untuk menghadiri, memberikan pendapat, dan mengundi dalam mesyuarat Majlis Tertinggi serta peringkat perhubungan berkaitan,"katanya.

Susulan tindakan itu, Azmin memaklumkan Bersatu akan membuat aduan rasmi kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) berhubung dakwaan pelanggaran perlembagaan gabungan berkenaan.

"PN yang dikuasai oleh PAS tidak lagi menjunjung perlembagaan gabungan tersebut, mengenepikan prinsip tadbir urus yang baik, serta bertindak secara semberono dan tidak demokratik," katanya.

PN kini diketuai Naib Presiden PAS yang juga Menteri Besar Terengganu merangkap Ahli Parlimen Kemaman, Ahmad Samsuri Mokhtar.

Selain itu, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, turut dilantik sebagai salah seorang Timbalan Pengerusi PN.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang sebelum ini diminta mengulas kedudukan Bersatu dalam PN susulan perkembangan politik selepas PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos lalu.

Sebelum ini, Muhyiddin dilaporkan berkata Bersatu akan membentuk gabungan baru yang dianggap lebih hebat bersama beberapa pertubuhan lain selepas PRN Negeri Sembilan.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, gabungan baru tersebut antara lain akan turut membabitkan parti dalam Ikatan Prihatin Rakyat (IPR), antaranya Putra dan Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS