Kerusi Taiping ganggu lena MB Perak
Kerusi Taiping, yang disandang presiden Parti Progresif Rakyat (PPP) Datuk M. Kayveas sejak 2004, menjadi igauan ngeri Menteri Besar Perak, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali.
Kerusi itu pada asalnya milik Gerakan, sementara parti itu pula mengambil Bukit Gantang yang menjadi kerusi tradisi Umno.
Bagaimanapun kini belum pasti sama ada dikekalkan di tangan PPP atau diserahkan semula kepada parti Gerakan.

"Kita (Umno) pinjamkan kepada mereka (Gerakan) untuk satu penggal dan kini saya harus mengambil semula untuk diberikan kepada wakil Umno dan ini menjadi mimpi ngeri dan mengganggu tidur saya sejak parlimen dibubarkan minggu lalu," katanya seperti dipetik agensi berita Bernama hari ini.
Menurut laporan itu lagi, suasana makin "panas" antara tiga parti komponen Barisan Nasional (BN) negeri itu selagi calon-calon kerusi-kerusi itu tidak diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Tajol Rosli, yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, menambah: "Saya telah berjanji dengan semua ahli Umno semasa mesyuarat pilihan raya 2004 di kediaman saya yang perkara ini hanyalah bagi satu penggal saja dan kini ia menjadi persoalan yang sering bermain di kepala saya."
Menurut sumber Umno bahagian Bukit Gantang, laporan itu dipetik, masalah besar bakal menimpa BN jika kerusi itu tidak dikembalikan.
"Jentera pilihan raya mungkin terjejas kerana semua sudah bersiap sedia untuk membantu kempen calon daripada Umno... semua berasa sudah cukup pengorbanan yang dilakukan pada 2004," katanya.
Laporan itu menyebut, Taiping adalah antara empat kerusi parlimen BN yang bermasalah di Perak selain Lumut, Parit Buntar dan Beruas.
Pada 2004, Kayveas mendapat 20,129 undi manakala calon DAP 17,957 dan calon Keadilan mendapat 4,371 undi.
Bukit Gantang, sebuah kerusi selamat, dijangkakan akan dikembalikan kepada Umno, lapor agensi berita itu lagi.