Kit Siang: DAP terancam di Bukit Bintang
Bukit Bintang, kerusi tradisi DAP, kini menjadi "berbahaya" kepada parti itu, kata Lim Kit Siang hari ini.
Dalam satu kenyataan, beliau berkata kini terdapat hampir 6,000 undi pos dalam daftar pemilih kawasan itu.
Bukit Bintang, kerusi tradisi DAP, kini menjadi "berbahaya" kepada parti itu, kata Lim Kit Siang hari ini.
Dalam satu kenyataan, beliau berkata kini terdapat hampir 6,000 undi pos dalam daftar pemilih kawasan itu.
Jumlah itu merupakan peningkatan kira-kira 1,000 undi pos, berbanding pilihanraya umum 2004.
Wakil rakyat DAP selama dua penggal di situ, Fong Kui Lun, menang dengan majoriti 304.
"DAP boleh tewas di Bukit Bintang dalam pilihanraya umum 8 Mac, tetapi bukan kerana pengundi Bukit Bintang telah tidak menyokong DAP lagi...," kata Lim.
"Tetapi akibat kecelaruan sistem pilihanraya dan peraturan yang senget sebelah di Bukit Bintang dalam tempoh 50 tahun."
Tambahnya, jika calon parti itu kalah di kubu kuatnya itu, ia bukan sahaja lambang kemenangan semua yang salah di negara ini sejak suku abad lepas tetapi juga sejak empat tahun lalu bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Menurut satu analisis berdasarkan data pemilih 2004, 13 peratus pemilih Bukit Bintang terdiri kaum Melayu, 75.8 peratus (Cina), 10.5 peratus (India) dan 0.7 peratus (kaum-kaum lain).
Pada pilihanraya umum lalu, 88 peratus daripada lebih kurang 5,000 undi pos adalah pemilih Melayu.
Kira-kira 94.5 peratus pengundi pos membuang undi, menjadikan jumlah keluar mengundi pada pilihanraya umum lalu di Bukit Bintang 60.9 peratus.
Sementara tanpa pengundi pos, jumlah keluar mengundi hanya 58 peratus.
Daripada data pilihanraya umum lalu, 4,465 pengundi atau 92.9 peratus memilih BN.

