PARLIMEN l Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin menegaskan kerajaan tidak perlu membuang masa untuk mengadakan sidang khas bagi membahaskan laporan RCI TH susulan permintaan mereka untuk mengangguhkan sesi itu tidak dilayan.
Dia turut mengkritik sesi yang berlangsung hari ini diturun taraf (downgrade) sebagai penerangan menteri yang akhirnya tidak ada sebarang keputusan atau pengundian akan dibuat.

"Ia majlis penerangan, kalau di terang dia nak suruh kita bahas apa. Kalau kata ada perkara atau usul nak dibawa baru kita bahas, ini kena faham.
"Contohnya kalau dibawa bajet, itu adalah usul untuk kepentingan rakyat, kita akan bahas. Tapi kalau laporan (TH) yang telah dikeluarkan oleh RCI, berdasarkan penemuan dan syor suruhanjaya, kerajaan dan pengurusn TH perlu memberikan perhatian serius terhadap penambahbaikan yang dicadangkan bagi memastikan pengurusan TH terus cemerlang.
"Maknanya selepas pengesyoran diberikan kepada kerajaan dan TH, nak bahas apa lagi? Nanti dia akan terangkan selama tiga tahun buat itu ini akhirnya tak ada apa-apa lagi, selesai. Itukah yang dia nak buat atau ada perkara lain?” soal ahli parlimen Larut itu pada sidang media di parlimen, hari ini.
Pembangkang kecuali Bersatu keluar Dewan
Terdahulu wakil rakyat pembangkang memilih untuk keluar sekali gus memboikot daripada Dewan Rakyat selepas permintaan mereka untuk menangguhkan sidang khas tersebut.

Ketua Whip PN, Takiyuddin Hassan pada awalnya tampil membangkitkan Peraturan Mesyuarat agar sidang khas Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) ditangguh susulan Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak dapat menghadiri sesi hari ini atas faktor kesihatan.
Sekumpulan wakil rakyat PAS dan Parti Wawasan Negara (Wawasan) bertindak keluar dewan sebaik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan bangun untuk memulakan sesi penerangan laporan RCI TH.
‘Orang Melayu tak yakin dengan kepimpinan PH’
Sementara itu Hamzah berkata, laporan RCI yang dibentangkan hanyalah setakat tahun 2020 dan banyak perkara (berlaku) lagi selepas tempoh itu tetapi tidak dibentangkan bersama.
"Ini yang kami fikir sepatutnya kalau ada perdana menteri di hadapan kita boleh minta, kita mohon, dia boleh respon kepada persoalan semasa perbincangan dilakukan.
"Itu yang kita mahukan sebab ini satu masalah yang dia (Anwar) kata bimbang orang Melayu hilang keyakinan. Saya rasa orang Melayu dah hilang yakin sebab di Negeri Sembilan nampak orang Melayu tak yakin dengan kepimpinan PH," katanya.

Presiden Wawasan itu turut memaklumkan pihaknya hilang keyakinan kepada perdana menteri yang didakwa tidak menjelaskan perkara sebenar dalam semua perkara termasuk isu TH.
"Saya nak maklumkan kepada rakyat kita hilang keyakinan kepada perdana menteri yang tidak menjelaskan perkara yang benar, jadi tidak kira masa bila, dulu atau sekarang, sama saja, kalau dia tak jelaskan perkara yang benar.
"Kita dah banyak kali sebut prinsip kita berterus-terang, sesuatu yang kita ketengahkan supaya kerajaan awal-awal lagi membuktikan mereka berterus-terang dalam semua hal termasuk hal TH.
"Sebab itu kita kata kita nak bahas, tapi akhirnya hanyalah merupakan penerangan menteri yang tidak akan ada keputusan. Kita boleh buat sidang media, buat kenyataan, boleh hantar surat, itu semua kita boleh lakukan, jadi tak payah buang masa," tegasnya lagi.
