Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'PH terbuka kerjasama semua' - Tak mungkin dengan PAS
Diterbitkan:  Aug 11, 2026 3:01 PM
Dikemaskini: 7:01 AM

Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh menggesa Naib Presiden PKR Amirudin Shari supaya menjelaskan kenyataannya bahawa Pakatan Harapan terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak demi kestabilan politik dan kebaikan rakyat.

Timbalan setiausaha agung DAP itu membangkitkan satu dilema yang jelas buat partinya — PAS.

Ahli parlimen Bukit Gelugor itu menegaskan walaupun kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat menjadi pertimbangan utama namun tidak kurang penting juga memastikan parti-parti di dalam sesebuah gabungan dapat bekerjasama demi kepentingan bersama.

“Dakwaan tidak berasas PAS terhadap DAP bahawa parti itu kononnya anti-Islam hanyalah satu contoh, yang pada pandangan saya menunjukkan bahawa tidak mungkin wujud sebarang kerjasama antara kedua-dua parti pada ketika ini,” katanya.

Ramkarpal turut bertanya kepada Amirudin, yang juga menteri besar Selangor jika perkara berkenaan telah dibangkitkan dan diselesaikan dalam Majlis Presiden PH.

“Perkara ini serius kerana ia berkaitan dengan hala tuju PH serta rakan-rakan kerjasama yang berpotensi dalam gabungan pada masa hadapan. Sudah tentu perkara ini mesti dibincangkan secara menyeluruh oleh parti-parti komponen sebelum sebarang pengumuman sedemikian dibuat.

“Saya tidak mengetahui tentang pendirian sedemikian dan boleh mengesahkan bahawa perkara ini sehingga kini tidak pernah dibangkitkan pada mana-mana peringkat dalam DAP.

“Dalam keadaan ini, perkara tersebut perlu dijelaskan dengan segera bagi mengelakkan sebarang kekeliruan yang mungkin timbul akibat kenyataan berkenaan,” juganya.

Walaupun mempunyai ideologi yang bertentangan, DAP dan PAS pernah dua kali bergabung tenaga.

Kali pertama adalah menerusi Barisan Alternatif dan kemudiannya Pakatan Rakyat, kedua-duanya gabungan terdahulu kepada PH yang kini sudah tidak lagi wujud.

Sejak membawa haluan masing-masing, parti Islam itu berulang kali menuduh DAP, yang majoriti anggotanya berketurunan Cina, cuba menggugat kedudukan orang Melayu dan Islam.

DAP secara konsisten menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai naratif palsu yang bertujuan mencetuskan rasa curiga dalam kalangan pengundi Melayu.

Semalam, Amirudin, yang merupakan anggota Majlis Presiden PH berkata gabungan itu mengutamakan kestabilan politik dan kepentingan rakyat ketika mempertimbangkan apa-apa bentuk kerjasama politik dengan parti atau gabungan lain.

Pemimpin PKR itu berkata PH kekal terbuka untuk bekerjasama atau mencapai persefahaman dengan mana-mana parti atau gabungan yang mendukung kedua-dua prinsip tersebut.

“Kerjasama dengan mana-mana pihak bukan sahaja dengan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) pun boleh difikirkan kalau akhirnya saya sebut tadi, prinsipnya adalah untuk kestabilan politik dan kebaikan rakyat," katanya.

PAS, yang menguasai 44 kerusi Parlimen, merupakan tunjang utama PN dan berada di barisan hadapan dalam usaha menyeru semua parti Melayu-Islam supaya bersatu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS