Pemuda Barisan Alternatif (BN) akan meletakkan sekurang-kurangnya 54 calon untuk bertanding kerusi parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihanraya umum ke-12.

Daripada jumlah itu Angkatan Muda Keadilan (AMK) meletakkan 36 calon, 80 peratus daripada mereka bawah umur 35 tahun, manakala Pemuda PAS meletakkan 18 calon, 10 daripadanya di kawasan parlimen.

Jumlah itu diumumkan oleh Ketua AMK, Shamsul Iskandar Md Akin dan Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub dalam sidang media di pejabat PAS di ibu negara hari ini.

Sebelum itu kedua-dua mereka melancarkan Dokumen Harapan Anak Muda anjuran kedua-dua sayap pemuda parti itu sebagai komitmen mereka untuk generasi muda dalam pilihanraya-pilihanraya umum akan datang.

"Mungkin AMK meletakkan lebih ramai lagi kerana di beberapa kawasan senarai calon yang bertanding di bawah Parti Keadilan Rakyat (PKR) belum diputuskan.

"Mereka orang muda termasuk bekas pimpinan pelajar dan aktivis parti," kata Shamsul Iskandar, sambil menambah lebih 50 peratus pengundi di kawasan tumpuan AMK merupakan pengundi muda bawah 40 tahun.

Tambahnya, beliau yakin gelombang 1999 akan berulang dalam pilihanraya umum kali ini apabila pengundi muda menyatakan sokongan beramai-ramai kepada parti pembangkang.

Sementara itu, Salahuddin berkata, Pemuda PAS yakin calon-calon mereka dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik dan tidak menimbulkan masalah kepada parti.

Bekas ahli parlimen Kubang Kerian itu juga berkata, dalam kempen pilihanraya umum kali ini, Pemuda PAS tidak akan terpengaruh dengan rentak ganas yang dijangka dilakukan oleh pihak lawan.

Salahuddin berkata, beliau yakin dalam pilihanraya kali ini PAS akan mengekalkan Kelantan, serta berjaya menawan Terengganu, Kedah dan Perlis serta beberapa kerusi di negeri-negeri lain.

"Fenomena 1999 datang kembali dalam pilihanraya umum kali ini. Sokongan orang muda kepada pembangkang dapat dilihat daripada dalam perhimpunan anjuran Gabungan Pilihanraya Adil dan Bersih (Bersih) di ibu negara 10 November tahun lalu.

"Lebih 80 peratus daripada puluhan ribu yang hadir merupakan golongan muda," katanya.