BN S'gor hadapi kesan negatif gugur 20 wakil rakyat
Barisan Nasional (BN), khususnya Umno Selangor berdepan dengan kemungkinan tindak balas penyokong kira-kira 20 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan ahli Parlimen yang tidak dicalonkan semula untuk bertanding dalam pilihanraya umum 8 Mac ini.
Antara mereka yang digugurkan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang, Datuk Zakaria Md Deros yang terbabit dengan isu pembinaan istana mewah tanpa kelulusan Majlis Perbandaran Klang.
Turut tidak dicalonkan semula termasuklah tiga ahli exco.
Senarai penuh calon-calon BN Selangor akan diumumkan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo, yang juga pengerusi BN Selangor, selewat-lewatnya Rabu depan.
Barisan Nasional (BN), khususnya Umno Selangor dijangka berdepan dengan kemungkinan tindak balas penyokong kira-kira 20 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan ahli Parlimen yang tidak dicalonkan semula untuk bertanding dalam pilihanraya umum 8 Mac ini.
Antara mereka yang digugurkan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang, Datuk Zakaria Md Deros yang terbabit dengan isu pembinaan istana mewah tanpa kelulusan Majlis Perbandaran Klang.
Turut tidak dicalonkan semula termasuklah tiga ahli exco.
Senarai penuh calon-calon BN Selangor akan diumumkan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo, yang juga pengerusi BN Selangor, selewat-lewatnya Rabu depan.
Sumber-sumber yang rapat dengan Umno negeri berkata, senarai calon tersebut akan disahkan apabila Dr Mohd Khir bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, hari ini.
Dr Mohd Khir pula akan mempertahankan kerusi lamanya, DUN Sungai Panjang, yang dimenanginya dalam pilihanraya umum lalu dengan majoriti lebih 5,000 undi.
Kesan negatif
Menurut sumber-sumber tersebut, Ketua Penerangan Umno Malaysia, yang juga bekas Menteri Besar Selangor, Senator Tan Sri Muhammad Muhd Taib dicalonkan bertanding di Parlimen Kuala Selangor.
Pilihanraya di Selangor membabitkan pertandingan di 22 kerusi Parlimen dan 54 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Dalam pilihanraya umum 2004, BN Selangor kehilangan dua kerusi DUN kepada DAP - Sungai Pinang dan Sekinchan.
"Mungkin wujud kesan negatif ekoran ada wakil rakyat yang digugurkan dan ada ketua bahagian yang tidak dicalonkan," kata sumber-sumber itu, yang rapat dengan Umno Selangor.
"Penyokong mereka boleh bertindak memboikot atau membuat undi bantahan pada 8 Mac nanti," kata mereka.
Bagaimanapun, kata sumber-sumber itu, anak Zakaria, yang juga ketua Pemuda Umno bahagian Klang, Zainuri dicalonkan untuk bertanding menggantikan tempat bapanya itu.
Muka baru
"Langkah itu mungkin dapat mengurangkan rasa tidak puas hati di kalangan penyokong Datuk Zakaria," tambah sumber-sumber itu.
Jika diletak orang lain, kata mereka, mungkin ia bakal memberi kesan negatif terhadap peluang BN di kerusi DUN Pelabuhan Klang.
Satu sumber lagi memberitahu Malaysiakini bahawa muka-muka baru yang dicalonkan untuk bertanding kali ini termasuklah lima ketua Pemuda bahagian, dua ketua Wanita bahagian dan seorang ketua Puteri Umno bahagian.
Selain Zainuri, muka baru yang dicalonkan kali ini termasuklah Ketua Pemuda Umno Selangor, Abdul Shukor Idrus, Ketua Pemuda Hulu Selangor, Mohd Isa Abu Kasim dan Ketua Pemuda Hulu Langat, Johan Abdul Aziz dan Ketua Pemuda Kapar, Faizal Abdullah dan Ketua Puteri Umno Selangor, Noraazmin Radzuan.
Difahamkan, Abdul Shukor dicalonkan bertanding di DUN Taman Templer, Mohd Isa di DUN Batang Kali dan Johan di DUN Dusun Tua.
Exco Pemuda Umno yang juga Pengerusi Biro Pengaduan Awam pergerakan tersebut, Datuk Subhan Kamal pula dicalonkan bertanding di DUN Kuang.
Digugurkan
Tiga exco kerajaan negeri yang tidak dicalonkan semula ialah Mohd Mokhtar Ahmad Dahlan (Kota Damansara), Datuk Raja Ideris Raja Ahmad (Sabak) dan Tang See Hang (Rawang).
Manakala seorang lagi ahli exco, yang juga pengerusi MCA Selangor, Datuk Ch'ng Toh Eng (Adun Kuala Kubu Bharu) akan bertanding kerusi Parlimen Klang. Beliau menggantikan Datin Paduka Tan Yee Kew.
Manakala seorang lagi ahli exco negeri, Datuk Ahmad Nawawi M Zin (Kota Anggerik) bertanding di kerusi Parlimen Shah Alam, menggantikan Datuk Aziz Shamsudin, yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.
Selain Aziz, ahli Parlimen lain yang turut tidak disenaraikan ialah Tan Sri Dr KS Nijhar (Subang), Datuk Yap Pian Hon (Serdang), Dr Rozaidah Talib (Ampang), Mohd Daud Tarihep (Kuala Selangor), Datuk Mat Yasir Ikhsan (Sabak Bernam) dan Datuk Dr Shafie Mohd Salleh (Kuala Langat).
Turut digugurkan ialah Adun Batang Kali, Datuk Zainal Abidin Sakom, Adun Taman Templer (Datuk Ahmad Bhari Abdul Rahman), Adun Taman Medan (Abdul Wahab Ibrahim), Adun Chempaka (Datuk Mad Aris Mad Yusof), Adun Hulu Bernam (Datuk Mohamad Ideris Abdul Bakar), Adun Batu Tiga (Datuk Salamon Selamat) dan Adun Permatang (Datuk Abdul Aziz Md Noh).
Adun Batu Caves, Datuk V Jagarasah turut digugurkan dan tempatnya diganti oleh anggota jawatankuasa pusat MIC, T Mohan. Turut tidak disenaraikan semula ialah Adun Dusun Tua, Rahmad Musa dan Adun Kuang Soohaimi Abdul Rahman.

