Paling Popular
Terkini

Beberapa tokoh DAP menjangkakan perwakilan parti itu akan memilih untuk ‘merestui’ ahli-ahli parlimen mereka terus berada dalam kabinet kerajaan perpaduan sehingga penggal semasa berakhir nanti.

DAP dijadual mengadakan kongres kebangsaan khas pada 16 Ogos ini bagi memberi suara kepada lebih 4,200 perwakilan dari seluruh negara menentukan hala tuju parti tersebut.

Undian mengenai sama ada DAP patut kekal atau keluar dari kerajaan persekutuan dijangka membawa kesan besar.

Sesi perbahasan yang membolehkan perwakilan menyuarakan kebimbangan dan aspirasi mereka juga boleh memberi gambaran penting mengenai pendirian kepimpinan parti.

Menurut bekas Adun Skudai, Boo Cheng Hau, berdasarkan pemerhatiannya terhadap sentimen ahli akar umbi DAP setakat ini menunjukkan perwakilan lebih cenderung untuk mengekalkan parti itu dalam kerajaan persekutuan melalui wakilnya dalam kabinet.

“Maklum balas yang saya terima ialah demi kepentingan parti dan negara, (DAP) perlu menyempurnakan mandat sehingga tamat tempoh kerajaan (persekutuan) dan biar rakyat menilai,” katanya kepada Malaysiakini.

Boo Cheng Hau

Bagaimanapun, Setiausaha Publisiti DAP cawangan Taman Ungku Tun Aminah itu mengingatkan, sokongan tersebut bergantung kepada kemampuan pemimpin parti membuktikan mereka sudah melakukan “usaha yang munasabah” untuk memperbaiki dan membetulkan kelemahan yang ada.

Bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, turut berpandangan demikian.

Katanya, walaupun ada anggota parti yang berbelah bahagi sama ada ahli parlimen DAP perlu kekal dalam kerajaan atau melepaskan jawatan masing-masing, konsensus umum kelihatan lebih terarah kepada status quo.

Tetap setia walau apa keputusan

Ketika dihubungi, Charles berkata, selain pertimbangan terhadap kestabilan politik, pendirian itu juga mungkin didorong oleh keinginan pendukung akar umbi untuk mengelakkan “masalah” mencari pengganti sekiranya jawatan kabinet itu dikosongkan.

Seorang perwakilan cawangan DAP di Selangor yang enggan namanya disiarkan turut mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa anggota parti yang ditinjau menunjukkan kecenderungan untuk mengekalkan keberadaan mereka dalam kabinet.

Katanya, kebanyakan anggota berpendapat selepas perjuangan panjang untuk mendapatkan kuasa di peringkat persekutuan, DAP perlu mengekalkan keupayaan mempengaruhi pembaharuan dan memenuhi janji-janjinya selagi parti itu masih mempunyai mandat untuk berbuat demikian.

Menggambarkan keadaan semasa yang menyaksikan wakil DAP memegang jawatan dalam kabinet sebagai “lebih baik daripada tiada langsung”, perwakilan itu berkata, majoriti anggota parti akan tetap setia kepada DAP tanpa mengira keputusan undian pada 16 Ogos nanti.

Charles Santiago

Pandangan yang dikemukakan perwakilan itu, Boo dan Charles juga mungkin mencerminkan sentimen orang ramai terhadap DAP.

Petikan tinjauan Merdeka Center yang dilihat Malaysiakini menunjukkan sedikit lebih separuh responden mahu DAP kekal dalam kerajaan selepas 16 Ogos.

Dalam tinjauan itu, 56.5 peratus responden berpendapat DAP perlu kekal dalam kerajaan, manakala 23 peratus berkata keputusan itu mesti disertai tuntutan untuk melaksanakan pembaharuan.

Sekiranya DAP kekal dalam kerajaan, 85.7 peratus penyokong PH berkata mereka akan terus mengundi parti itu. Bagaimanapun, hanya 63 peratus pengundi berusia bawah 30 tahun berkata mereka akan mengundi DAP dalam keadaan sedemikian.

Tinjauan itu – yang mendapatkan pandangan responden dalam jumlah tidak diketahui mengenai sama ada DAP perlu meninggalkan kerajaan atau tidak – masih belum diterbitkan dan dipercayai dibuat atas permintaan DAP.

Isu bekas bos SPRM

Charles berpendapat dalam situasi semasa PH tidak berada pada kedudukan untuk memenangi PRU ke-16.

Katanya, jika perwakilan memutuskan DAP perlu kekal dalam kerajaan, parti itu perlu berbuat lebih banyak untuk meningkatkan sokongannya dalam kalangan pengundi.

Sehubungan itu, dia menyenaraikan beberapa pembaharuan yang menurutnya perlu didesak DAP terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai sebahagian daripada “perjanjian timbal balik” bagi meneruskan sokongan parti tersebut.

Menurut Charles, langkah itu penting bagi mengelakkan tanggapan bahawa Anwar – yang juga Pengerusi PH – semakin semakin kehilangan legitimasi.

Antara langkah yang dicadangkannya ialah melakukan rombakan kabinet bagi menggugurkan menteri yang “menjejaskan” komitmen PH terhadap agenda antirasuah.

Dia berkata persepsi awam terhadap gabungan berkenaan terjejas akibat kerjasamanya dengan tokoh yang sedemikian.

“PH kini berada di ICU (unit rawatan rapi), jsuteru sudah tiba masanya untuk membuat beberapa keputusan sukar sebagai cara memberitahu rakyat Malaysia bahawa kita serius dengan janji untuk memerangi rasuah,” katanya.

Charles berkata DAP juga mesti memperhebat desakan supaya dapatan jawatankuasa khas yang menyiasat isu pemilikan saham bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, didedahkan kepada umum.

“Kita mesti memastikan laporan itu dikeluarkan dalam tempoh satu atau dua minggu (selepas 16 Ogos), yang sepatutnya boleh saja dilakukan kerana laporan itu dikatakan sudah siap.

“Apa gunanya berada dalam kerajaan dan kabinet jika kita tidak mampu menggunakan pengaruh?

“DAP perlu menjadi tulang belakang (kerajaan dan PH) yang benar-benar mempunyai ketegasan,” katanya.

Sedar kekangan dihadapi PH

Charles turut membangkitkan bahawa desakan berulang kali oleh DAP, parti-parti lain dan aktivis untuk menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja bagi menyiasat dakwaan “mafia korporat” juga tidak mendapat perhatian.

Dia turut mencadangkan supaya DAP memperjuangkan penubuhan jawatankuasa peringkat tinggi bagi menangani isu kos sara hidup, pelaksanaan pelan makanan untuk semua sekolah di seluruh negara, serta komitmen untuk menyediakan perlindungan sosial selain gaji minimum bagi pekerja ekonomi gig.

Menurutnya, langkah-langkah berkenaan hanya akan membantu meningkatkan daya tarikan PH di mata rakyat menjelang PRU.

Namun, dia memberi amaran, jika Anwar terus “mengelak” daripada melaksanakan pembaharuan tersebut, rakyat akan “muak”.

Boo turut mengakui ketidakpuasan hati orang ramai terhadap PH semakin mendalam.

Katanya kekalahan gabungan itu dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan baru-baru ini sebagai bukti sentimen tersebut.

Bagaimanapun, dia yakin rakyat juga menyedari kekangan struktur yang dihadapi PH.

Walaupun menjadi blok terbesar di parlimen, gabungan itu tidak mempunyai majoriti mudah untuk melaksanakan pembaharuan yang dijanjikannya.

Pada masa sama, PH perlu menjaga kepentingan rakan-rakan dalam kerajaan campuran, termasuk BN bagi mengekalkan kestabilan politik negara.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS