Seorang ahli perniagaaan wanita menuduh Ketua Pemuda MIC, SA Vigneswaran telah melanggar satu perjanjian jualbeli dengannya dan berhutang kepadanya lebih RM500,000.

vickneswaran house scandal rameswree 160208 front D Ramaswree, 43, juga mendakwa, Vigneswaran juga telah menandatangani sebuah dokumen dengan memalsukan tandatangannya (Ramaswree).

Ekoran itu, Ramaswree menggesa Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu supaya menggugurkan nama Vigneswaran dari senarai calon bagi pilihanraya umum 8 Mac ini.

Vigneswaran adalah penyandang kerusi Parlimen Kota Raja di Selangor. Pada 2004, beliau memperolehi 24,376 untuk menewaskan calon PAS, Dr Mariah Mahmud yang mendapatkan 8,239 undi, dalam satu pertandingan tiga penjuru, membabitkan calon Bebas, T Krisnasami.

"Beliau tidak seharusnya dibenarkan bertanding (dalam pilihanraya umum kali ini). Bagaimana boleh bertanding sebagai ahli Parlimen kerana beliau seorang yang tidak jujur?" soalnya.

sa vigneswaran Ramaswree, yang mengendalkan sebuah syarikat sumber tenaga manusia, berkata beliau telah beberapa kali meminta Vigneswaran (foto) supaya membayar balik wangnya tetapi tidak dihiraukan.

Sebagai langkah terakhir, beliau telah memfailkan saman terhadap Vigneswaran pada 1 Februari, untuk mendapatkan semula wangnya.

Ramaswree juga telah menulis surat kepada Samy Vellu dan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, mengenai masalah yang dihadapinya itu.

samy vellu  010307 "Saya pernah bercakap dengan Datuk Seri Samy Vellu sebelum ini dan menceritakan segala-galanya kepada beliau. Setakat ini tiada sebarang tindakan diambil," katanya kepada Malaysiakini.

"Dan nampaknya beliau akan dicalonkan oleh pihak parti untuk (mempertahankan) kerusinya dalam pilihanraya kali ini. Beliau tidak harus dibenarkan bertanding," katanya.

Urusan beli rumah

Menceritakan mengenai punca masalahnya, Ramaswree berkata, beliau telah bersetuju untuk membeli rumah Vigneswaran di Klang dengan RM1.3 juta pada 2005.

"Saya telah menyerahkan kepadanya RM665,713 sebagai sebahagian daripada bayaran pendahuluan tetapi beliau tiba-tiba membatalkan perjanjian untuk menjual rumahnya itu," katanya.

Menurut Ramaswree, Vigneswaran kemudiannya memulangkan RM150,000 dan masih berbaki sebanyak RM515,713.

"Walaupun beberapa kali meminta dan menghantar surat peringatan, beliau masih tidak menghiraukannya atau enggan membayar bakinya kepada saya," kata Ramaswree.

Beliau juga mendakwa, Vigneswaran telah memalsukan tandatangannya (Ramaswree) yang menyatakan bahawa beliau (Ramaswree) telah bersetuju untuk menjual semula rumah tersebut kepadanya (Vigneswaran) pada harga RM1 juta.

"Ini tidak benar sama sekali. Malah saya telah membuat laporan polis mengenai dokumen palsu tersebut," katanya.

Vigneswaran tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen tetapi seorang pembantunya berkata ahli politik tersebut tidak mahu mengulas mengenai perkara itu kerana ia belum selesai di mahkamah.

"Dan kita rasa ada seseorang di belakang beliau (Ramaswree) sebagai usaha pada saata-saat akhir untuk menjejaskan peluang ahli Parlimen kita untuk dicalonkan bertanding kerusi tersebut," tambahnya. Berita asal