Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) kesal kerajaan tidak serius menunjukkan komitmen untuk menukar pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Malaysia.

PKPIM, yang bergabung dengan beberapa organisasi lain, sejak beberapa tahun ini berkempen agar pengajaran dua mata pelajaran yang kini dalam bahasa Inggeris dikembalikan kepada bahasa kebangsaan.

"PKPIM juga ingin menyatakan rasa kesal dengan sikap kerajaan yang seolah-olah tidak komited dengan isu ini dan bermain-main dengan masa depan generasi muda," kata setiausaha agungnya Abdul Muntaqim Zulkipli dalam satu kenyataan semalam.

"Dalam suasana ketika pilihanraya sudah hampir dan setiap parti politik kini sedang giat melakukan usaha untuk memancing undi, PKPIM berharap agar kenyataan itu bukanlah hanya janji kosong semata-mata, tetapi haruslah menjadi salah satu komitmen utama kerajaan selepas ini."

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri kelmarin bahawa kerajaan bersedia menimbangkan permintaan untuk menggunakan bahasa ibunda dalam dua mata pelajaran itu di sekolah rendah.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagaimanapun berkata, pertimbangan itu akan dibuat selepas kajian terperinci mengenai keberkesanan penggunaan bahasa Inggeris bagi subjek-subjek itu dilakukan.

“Bukan hanya orang Cina yang minta, orang Melayu juga minta jadi kami mengambil kira kedua-duanya. Ia perlu diteruskan dulu untuk satu tempoh tertentu, kemudian ia akan dikaji dan dinilai semula,” beliau dipetik sebagai berkata di majlis perjumpaan dengan masyarakat Cina di Dewan Perhimpunan Cina Pulau Pinang Ahad lepas.

Abdul Muntaqim menambah PKPIM kesal dengan sikap kerajaan yang masih lagi berlengah-lengah untuk berbuat demikian dengan alasan bahawa "sistem itu perlu diteruskan untuk tempoh masa yang tertentu supaya boleh dikaji dan dinilai semula."

"Satu persoalan yang boleh ditimbulkan adalah mengapakah ketika sistem ini hendak dilaksanakan pada tahun 2003 dahulu, kerajaan tidak mengambil masa untuk melakukan kajian menyeluruh dan memohon pandangan daripada pakar-pakar akademik terlebih dahulu? Mengapakah sistem ini dilaksanakan dengan tergesa-gesa?" soalnya.

"Janganlah soal pendidikan yang sangat penting demi survival bangsa dan negara ini dipolitikkan dan dijadikan sebagai agenda untuk memancing undi semata-mata," tambah Abdul Muntaqim.

Selain PKPIM, Umno Johor juga sejak beberapa tahun lalu lantang mendesak kerajaan merombak kembali dasar itu yang diperkenal pada 2003 bawah kepemimpinan perdana dulu Tun Dr Mahathir Mohamad.