Exco Pelancongan dan Alam Sekitar Johor, Freddie Long tidak akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Stulang dalam pilihanraya umum kali ini.

Long, 64, mengumumkan demikian, dengan nada sebak, ketika berucap di majlis malam mesra bersama rakyat sempena Tahun Baru Cina anjuran MCA Bahagian Johor Bahru di Serene Park, malam tadi.

"Pengunduran saya adalah bagi memberi laluan kepada calon muka baru MCA," katanya di majlis tersebut.

Menurut Bernama, Long menjadi wakil rakyat selama lima penggal mulai 1986 termasuk dua penggal di DUN Gertak Merah dan kemudian DUN Stulang.

Pada pilihanraya umum 2004, Long menewaskan calon DAP, Norman Fernandez dengan majoriti 16,745 undi.

PBB calon muka baru

Di Kuching, bekas ahli Parlimen Tanjung Manis Datuk Wahab Dollah disebut-sebut berpindah bertanding di Igan - salah satu daripada tiga kawasan Parlimen baru di Sarawak. Sebelum ini, Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud mengumumkan calon baru akan diletakkan di Tanjung Manis.

Taib, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak dan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu, menamakan Norah Tun Abdul Rahman, 49, seorang ahli perniagaaan sebagai calon dari sayap Wanita PBB di Tanjung Manis, yang sebelum ini dikenali dengan nama Kuala Rajang.

Igan turut terletak di kawasan Koridor Pembaharuan Tenaga Sarawak (Score) yang meliputi kawasan pesisir di Tanjung Manis, Mukah hingga ke Samilajau di Bintulu.

Ia juga terletak di kawasan Koridor Pembaharuan Tenaga Sarawak (Score), yang lebih dekat dengan kampung halaman Wahab yang merangkumi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jemoreng dan Daro.

Norah pula adalah anak bekas Yang Dipertua Negeri dan Ketua Menteri Tun Abdul Rahman Yaacob, yang pernah menjadi wakil rakyat Tanjung Manis selama satu penggal selepas pilihanraya umum 1970.

Ketika itu kawasan berkenaan dikenali sebagai Parlimen Payang.

PBB, yang akan bertanding 14 kerusi dalam pilihanraya ini, menang kesemua 11 kerusi yang ditandinginya pada 2004.

Dua lagi muka baru dijangka ditempatkan PBB di Parlimen Sibuti dan Limbang. Setiausaha Politik Ketua Menteri, Ahmad Lai Bujang, 52, dijangka dicalon di Sibuti manakala calon dari sayap Pemuda PBB, Hasbi Hasbullah, 42, di Limbang.

Bagaimanapun Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) turut berhasrat meletakkan calonnya di Sibuti.

Selain di Sibuti dan Limbang, PBB juga dijangka menampilkan calon baru untuk Parlimen Batang Sadong. Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri, Nancy Shukri, 47, disebut akan dicalon di situ.

Di Batang Sadong yang sebelum ini disandang bekas Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Adenan Satem, kemungkinan ditandingi muka baru, iaitu Setiausaha Politik Ketua Menteri Nancy Shukri.

Sementara itu SUPP yang akan bertanding bagi tujuh kerusi telahpun memaklumkan penampilan dua muka baru iaitu Ketua Pemuda SUPP Alan Sim Yaw Yen, 44, seorang peguam untuk calon kawasan Bandar Kuching dan Ding Kuong Hiing, 53, lulusan Sarjana Muda Kejuruteraan Universiti of Liverpool, England bagi kerusi Sarikei.

Kedua-dua mereka merupakan setiausaha politik Ketua Menteri. Dalam pilihanraya umum lalu, SUPP tewas satu daripada tujuh kerusi yang dipertandingkan iaitu Bandar Kuching kepada DAP.

Najib: Jangan gadai masa depan negara

Di Ipoh, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan rakyat agar tidak menggadaikan masa depan negara dan generasi akan datang dengan meletakkan kepercayaan kepada pakatan pembangkang melalui Barisan Alternatif (BA).

Sebaliknya, kata beliau, ia lebih merupakan pakatan dalam gelap yang berpakat hanya untuk menghadapi pilihanraya umum, berbeza dengan Barisan Nasional (BN) yang berpakat sepanjang masa.

"Adakah boleh serah masa depan negara dan anak-anak kita..., bolehkah kita tidur nyenyak jika parti bayangan alternatif ini mentadbir negara," katanya ketika berucap di majlis jamuan malam jentera pilihanraya Barisan Nasional (BN) Perak di kediaman Menteri Besar Perak di Ipoh.

Najib yang juga Pengarah Pilihanraya BN berkata kumpulan yang mengadakan pakatan yang cuba meniru permuafakatan BN ini sebenarnya kelompok yang ekstrem.

Satu lawan satu Pembangkang-BN di Semenanjung

Di Petaling Jaya, pakatan pembangkang sepakat untuk meletakkan hanya seorang calon untuk menentang Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi di Semenanjung Malaysia.

Ketua Umum PKR, Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata persetujuan itu pada dasarnya dicapai berikutan perbincangan dengan kepimpinan sekutunya iaitu DAP dan PAS.

"Untuk Semenanjung Malaysia, pada umumnya perbincangan mengenai pembahagian kerusi telah selesai, kita sedang memperincikan butiran terhadap satu atau dua kerusi. Kita akan menentang calon BN, satu lawan satu", katanya kepada pemberita semalam.

Menurutnya, perbincangan masih diteruskan untuk pembahagian kerusi di Sarawak dan keputusan akan dicapai pada masa terdekat.

Sehingga kini, hanya isteri beliau Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail disahkan mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh, manakala calon lain belum diputuskan secara muktamad.

SPR sedia khidmat pusat panggilan

Di Kuala Lumpur, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyediakan kemudahan semakan untuk pemilih berdaftar menyemak butiran diri untuk urusan pengundian dalam pilihanraya umum 8 Mac ini.

Setiausaha SPR, Datuk Kamaruzaman Mohd Noor berkata pemilih boleh menghubungi pusat panggilan di talian 03-88 85 66 00 atau melayari laman web rasmi SPR di alamat: www.spr.gov.my.

"Pusat panggilan beroperasi mulai 14 Februari lalu dan akan dibuka sehingga hari pengundian," katanya dalam satu kenyataan semalam.

SPR, katanya, menyediakan 10 talian yang dikendalikan petugas dari jam 8 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari.

Manakala pada hari pengundian, operasi pusat panggilan tersebut ditutup pada jam 5 petang.

Penduduk Kelana Jaya mahu Loh dikekalkan

Di Petaling Jaya, Penduduk kawasan Parlimen Kelana Jaya berharap wakil rakyat mereka, Loh Seng Kok, dapat mempertahankan kerusinya dalam pilihanraya umum kali ini kerana masih banyak projek pembangunan di kawasan itu yang perlu diteruskan.

Wakil penduduk, S. Murugan, 43, berkata mereka tetap akan menyokong calon Barisan Nasional dalam pilihanraya kali ini namun meminta jasa baik Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi agar khidmat Loh diteruskan di kawasan itu.

Mereka menyatakan pendirian tersebut kepada pemberita dalam satu pertemuan di flat Desa Mentari di Petaling Jaya.

Seorang lagi penduduk kawasan itu dari Kampung Penaga, M. Yagaragan, 50, berkata khidmat Loh masih diperlukan untuk menyelesaikan beberapa program di kawasan itu.

Menurutnya, sepanjang sepenggal menjadi wakil rakyat, Loh telah menjalankan tugasnya dengan sempurna dan hampir 30 peratus pengundi kaum India di kawasan itu mahukan agar Loh mempertahankan kerusi parlimen itu.

Loh bagaimanapun tidak hadir dalam pertemuan itu dan enggan mengulas apabila dihubungi.

Dalam pilihanraya umum 2004, Loh mengalahkan calon PKR, Syed Shahir Syed Mohamud dengan majoriti 21,671 undi.

Setiausaha MCA Kedah nafi digugurkan

Di Alor Star, Setiausaha MCA Kedah Datuk Chong Itt Chew menafikan bahawa beliau adalah antara 40 wakil rakyat MCA yang digugurkan dalam pilihanraya umum kali ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pengangkutan, Sains, Inovasi dan Masyarakat Cina Negeri berkata setakat ini pucuk pimpinan MCA belum mengumumkan atau membuat keputusan mengenai calon MCA yang akan bertanding atau digugurkan.

"Bagaimanapun saya akur kepada sebarang keputusan parti. Sekiranya pucuk pimpinan mahu saya bertanding saya sedia memikul tanggungjawab, atau sebaliknya saya akan akur," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas laporan bahawa beliau adalah muka lama yang digugurkan oleh MCA.

Beliau menang kerusi Dewan Undangan Negeri Kota Darul Aman untuk tiga kali berturut-turut ada pilihanraya umum 2004.