Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wakil PKR Selangor saran tanding guna lambang sendiri PRU depan

PKR perlu mempertimbangkan penggunaan lambang parti sendiri pada pilihan raya umum akan datang, kata seorang perwakilan PKR Selangor pada kongres nasional parti itu hari ini.

Dalam ucapannya Ahmad Danish Hairudin turut menggesa Presiden PKR, Anwar Ibrahim mengambil pendirian lebih tegas dalam hubungan dengan Umno.

“Sudah tiba masanya Keadilan (PRK) mempertimbangkan bagi menggunakan panji Keadilan dalam pilihan raya mendatang,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar presiden di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).

Ahmad Danish berkata, PKR tidak seharusnya terlalu menjaga hati rakan politik sehingga mengabaikan keresahan akar umbi yang kini mahu Anwar dan pimpinan parti membuat keputusan tegas mengenai hubungan dengan Umno-BN.

“Sama ada kita mahu terus berkawan dengan orang yang sedang menghunus keris kepada kita, atau kita akan terus melawan seperti mana kita melawan dengan mereka berpuluh tahun dahulu,” katanya.

Tegasnya, PKR tidak boleh terus berdiam apabila parti itu “ditikam” Umno di Johor dan “dipancung” di Negeri Sembilan walaupun mereka bersama dalam kerajaan perpaduan.

“Jangan di Putrajaya kita bersalaman, tetapi di medan politik tangan yang sama menikam kita.

“Kompromi ada batasnya, kesabaran ada sempadannya,” katanya.

Pada masa sama dia turut menggesa Anwar agar lebih tegas terhadap pihak yang dianggap tidak setia kepada parti.

“Jangan hukum kesetiaan dengan kesunyian. Jangan hadiahkan pengkhianatan dengan keistimewaan,” katanya.

Ahmad Danish turut mengaitkan kisah Si Kitol dan Raja Mendeliar yang pernah dibawa Anwar dalam Kongres Nasional PKR pada 2019 sebagai peringatan mengenai bahaya ancaman dari dalam.

“Benteng yang kuat sukar ditembusi musuh dari luar. Tetapi benteng yang pintunya dibuka oleh orang di dalam gabungan kerajaan sendiri akan runtuh tanpa perlu musuh memanjat tembok,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS