Paling Popular
Terkini

Nurul Izzah Anwar, dalam ucapan terakhirnya sebagai timbalan presiden PKR tampil mempertahankan perjuangan bapanya demi negara-negara di Selatan Global, merujuk antaranya isu Gaza dan Palestin.

Selatan Global istilah politik yang merangkumi negara-negara kurang bernasib baik dari segi ekonomi serta mempunyai sejarah penjajahan, yang sebelum ini disebut sebagai negara “dunia ketiga” atau “kurang membangun”.

Nurul Izzah memberitahu pengkritik dalam negara bahawa mereka berhak untuk tidak menyukai kenyataan Perdana Menteri ANwar Ibrahim mengenai perkara itu di pentas dunia, tetapi tidak seharusnya mengecamnya.

“Dan memang hakikatnya Datuk Seri Anwar jadi perdana menteri mewakili suara kita. Beliau bercakap di pentas antarabangsa. Nak tak suka, tak sukalah. Tutuplah TV.

"(Tapi) jangan nafikan pengorbanan, nafikan peranannya. Berlaku adillah,” katanya ketika menggulung perbahasan di penghujung kongres nasional parti itu di Melaka hari ini.

“Jadi orang kata negara sendiri pun mempunyai banyak masalah, kenapa sibuk dengan masalah orang lain?

“Masalahnya, dunia hari ini tidak membenarkan kita pilih sebegitu,” katanya sambil merujuk kesan berantai konflik di Asia Barat.

Nurul Izzah turut berkata mereka yang mahu memfitnah Anwar semata-mata kerana “cemburu” sepatutnya berjumpa dengan pakar psikologi.

“Kalau mahu mengkritik kesalahan, saya pun mengkritik. Tetapi kalau anda memfitnah, anda dendam dan tidak boleh menerima tanpa sebab yang munasabah selain rasa cemburu, lebih baik anda berjumpa pakar psikologi.

“Negara ini mempunyai banyak lagi masalah nak diselesaikan. Tiada masa untuk mendengar masalah anda kerana anda bukan perdana menteri. Helo,” katanya.

Dalam perkembangan sama Perdana Menteri Anwar Ibrahim membidas pengkritiknya dan mempertahankan diri berhubung pelbagai isu ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres PKR hari ini.

Ini termasuk tuduhan bahawa dia seorang yang bersikap perkauman.

“Saya orang yang paling tidak bersikap perkauman,” tegasnya sambil berkata dia sentiasa mengekalkan hubungan baik dengan masyarakat bukan Melayu, termasuk ketika memimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).

Berhubung ekonomi dan kesejahteraan rakyat, Anwar berkata bantuan yang disediakan oleh kerajaannya menerusi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) jauh melebihi jumlah yang diterima penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pada era Najib Abdul Razak.

Dia berkata kemiskinan tegar telah diturunkan kepada hampir sifar di bawah pentadbirannya, iaitu pada kadar 0.09 peratus setakat 2024.

Bagi golongan berpendapatan pertengahan pula, katanya mereka merupakan penerima manfaat utama subsidi bahan api di bawah Budi95 dan kebanyakan daripada mereka turut menikmati subsidi elektrik.

Anwar menegaskan negeri-negeri pembangkang seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah juga menerima bantuan daripada pentadbirannya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS