Penyandang kerusi Batu Gajah, Fong Po Kuan, hari ini menegaskan untuk tetap dengan pendiriannya tidak bertanding lagi di kerusinya itu.

Dalam mesej ringkas di blognya petang ini, Fong berkata "teman-teman, saya mohon maaf."

"Saya tidak akan menimbang semula keputusan saya untuk tidak bertanding dalam pilihanraya umum ke-12."

Melalui lapan baris ayat itu, Fong juga memohon maaf kerana tidak dapat menjawab panggilan telefon, mesej, emel dan komentar pengunjung di blognya itu 'Chamber of Thoughts' (pokuan.blogsome.com).

"Saya benar-benar menghargai pandangan, kritikan, sokongan dan galakan anda semua. Ia suatu keputusan yang berat," catatnya lagi.

"Saya mohon maaf jika saya telah mengecewakan anda. Saya benar-benar berharap anda semua akan boleh memahaminya."

Pagi tadi setiausaha agung DAP Lim Guan Eng, dalam satu kenyataan, berkata beliau telah cuba menghubungi Fong tetapi gagal.

"Saya telah cuba menghubunginya di Ipoh semalam tetapi gagal," katanya, dengan menambah usaha menemui Fong akan diteruskan untuk memujuk beliau kekal di kawasan parlimen tersebut.

Sama ada usaha memujuk ahli politik muda ini akan diteruskan setakat ini belum jelas selepas Fong menerbitkan mesej ringkas tersebut.

Keputusan Fong itu menjadi satu masalah kepada DAP dalam usahanya, bersama PKR dan PAS, untuk menawan Pulau Pinang dan kerusi-kerusi lain di seluruh negara.

"Keputusan Fong meninggalkan pasukan calon parlimen DAP bukan sahaja membawa kesan negatif kepada DAP secara politik tetapi juga menimbulkan kepedihan apabila dilemparkan pelbagai tuduhan ... bahawa DAP mendesaknya melepaskan kerusi itu," tambah Lim.

Beliau berkata DAP bersedia menerima kekalahan di kerusi itu dan juga risiko peluang kemenangannya makin tipis ekoran keputusan Fong itu tetapi tidak sanggup menerima tuduhan bahawa parti itu memaksa ahli politik wanita itu meninggalkan kerusinya demi kepentingan pemimpin lain DAP.

Barisan Nasional dengan segera menafsirkan DAP mengalami krisis dalaman sebaik sahaja berita keputusan Fong itu tersebar sejak Ahad lalu.

Terbaru, timbalan pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak hari ini dilaporkan menyifatkan DAP mengalami "pergolakan dalaman yang serius" sehingga Fong terpaksa melepaskan kerusinya itu.

Beliau juga menyifatkan parti pembangkang itu "kelam-kabut".

“Itu kelihatannya DAP tidak boleh mengamalkan prinsip-prinsip demokrasi, keterbukaan dan meritokrasi yang ia perjuangkan selama ini," tambah Najib, yang juga timbalan perdana menteri.