Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Gobind desak Anwar laksana empat reformasi sebelum akhir tahun
Diterbitkan:  Aug 17, 2026 11:36 AM
Dikemaskini: 3:36 AM

Menteri Digital, Gobind Singh Deo mahu Perdana Menteri Anwar Ibrahim melaksanakan sekurang-kurangnya empat reformasi menjelang akhir tahun ini.

Secara khususnya, dia mahu Putrajaya memisahkan peranan peguam negara dan pendakwa raya, menetapkan had tempoh jawatan perdana menteri, serta meminda Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) serta Akta Perhimpunan Aman.

Kenyataan itu selaras bagi meneruskan momentum daripada kongres DAP, semalam apabila perwakilan membuat ketetapan untuk kekal dalam kerajaan tetapi mendesak pelaksanaan reformasi.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dilaporkan berkata mereka akan membincangkan garis masa pelaksanaan perkara itu dengan Anwar.

RUU pemisahan peranan peguam negara dan pendakwa raya kini dalam proses mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong selepas kerajaan meminda draf perundangan bagi membolehkan Parlimen memainkan peranan lebih berkesan dalam menyaring calon pendakwa raya.

Sementara itu, RUU had tempoh jawatan perdana menteri gagal diluluskan dengan kekurangan hanya dua undi pada Mac lalu disebabkan ketidakhadiran anggota parlimen. Namun, kerajaan masih belum membentangkan semula RUU berkenaan.

Bagi pindaan Sosma, Gobind berkata kerajaan telah menyatakan hasrat untuk meminda undang-undang itu sejak Februari tahun lalu, manakala pindaan Akta Perhimpunan Aman telah dibincangkan selama beberapa bulan.

"Kita mesti memuktamadkan dan membentangkannya tanpa sebarang penangguhan lagi," kata pengerusi DAP itu.

Namun, garis masa Gobind dilihat agak ketat. Walaupun Dewan Rakyat dijadualkan bersidang dari 5 Oktober hingga 8 Disember, tujuh daripada 10 minggu akan difokuskan kepada perbahasan dan kelulusan Bajet 2027.

Mungkin menyedari hakikat ini, Gobind dalam kenyataannya berkata maklum balas kerajaan terhadap laporan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) Tabung Haji mungkin memegang jawapannya.

"Kerajaan bertindak pantas dengan mengadakan sidang khas Parlimen untuk laporan RCI Tabung Haji baru-baru ini.

“Pendekatan serupa patut diambil untuk RUU reformasi yang genting ini," katanya sambil mencadangkan sama ada sidang khas atau penambahan hari persidangan.

Pentadbiran Anwar sebelum ini melepaskan masa hampir 4 tahun tanpa memproses laporan RCI Tabung Haji, atas alasan memberi ruang kepada dana haji itu untuk pulih.

Begitu juga, pentadbiran Anwar dituduh melengahkan reformasi dengan menggunakan alasan kerajaan perpaduan.

Bagaimanapun, Anwar sendiri membayangkan bahawa perkara itu bukanlah halangan besar seperti yang didakwa sesetengah pihak, apabila dia mengumumkan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) pada Sabtu — salah satu janji utama PH dalam manifesto pilihan raya umum ke-15.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS