Ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin barisan pembangkang mampu menafikan Barisan Nasional (BN) kemenangan dua pertiga dalam pilihanraya umum kali ini.

Untuk itu, parti-parti pembangkang perlu memenangi sekurang-kurangnya 75 daripada 222 kerusi Parlimen.

Dalam temubual dengan Malaysiakini hari ini, bekas timbalan perdana menteri itu berkata, PKR yakin akan memenangi 25 hingga 30 kerusi Parlimen.

Beliau juga yakin parti pembangkang utama yang lain - PAS dan DAP - akan mencapai kemenangan besar dalam pilihanraya umum 8 Mac ini.

Malaysiakini akan menerbitkan laporan lengkap wawancara dengan Anwar esok.

Sementara itu di satu majlis ceramah, beliau berkata pakatan pembangkang selesai mengagihkan kerusi bagi memastikan pertandingan satu lawan satu dengan BN.

Persetujuan itu dicapai selepas perbincangan dengan kepemimpinan dua sekutunya, DAP dan PAS.

"Untuk Semenanjung Malaysia, pada umumnya perbincangan mengenai pembahagian kerusi telah selesai, kita sedang memperincikan butiran terhadap satu atau dua kerusi," katanya malam tadi di Petaling Jaya.

"Kita akan menentang calon BN, satu lawan satu," beliau dipetik sebagai berkata.

Menurut Bernama , Anwar berkata perbincangan diteruskan untuk pengagihan kerusi di antara dua parti itu di Sarawak dan keputusan akan dicapai pada masa terdekat.

Jika perundingan antara DAP dan PKR gagal di Sarawak, sekurang-kurangnya empat kerusi bermajoriti Cina akan menyaksikan pertembungan tiga penjuru.

Sehingga hari ini, hanya isteri beliau Dr Wan Azizah Wan Ismail disahkan mempertahankan kerusi parlimen Permatang Pauh, manakala calon lain belum diputuskan secara muktamad, laporan itu dipetik.

Sementara itu PKR Pulau Pinang akan mengumumkan senarai penuh calonnya bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan parlimen Jumaat ini.

Menurut pengerusi perhubungan PKR negeri itu Datuk Zahrain Mohd Hashim berkata majlis pengumuman akan diadakan pada 8 malam di pejabat PKR di Taman Selasih, Seberang Jaya.

Zahrain berkata PKR akan meletakkan calon di lima kerusi parlimen - Bayan Baru, Permatang Pauh, Balik Pulau, Tasek Gelugor dan Nibong Tebal - dan 16 kerusi DUN.