Laporan-laporan media yang tidak beretika, seperti sering terjadi ketika pilihanraya umum, sedang dipantau oleh tiga perkumpulan aktivis.

Piagam 2000 Aliran, Pusat Kewartawanan Independen (CIJ) dan Pakatan Penulis Untuk Media Bebas (Wami) mula memantau laporan-laporan media cetak dan elektronik sejak Parlimen dibubarkan minggu lepas.

Sebahagian analisis tiga kumpulan ini boleh dicapai di blog 'Election 2008 - Malaysian Media Monitors' Diary' (www.aliran.com/elections/).

Dalam analisis terakhir semalam, blog itu menyebut media dalam talian memaparkan berita yang lebih "bersimpati" terhadap bekas ahli parlimen Batu Gajah, Fong Po Kuan, yang menarik diri daripada dicalonkan semula.

Wakil rakyat DAP itu mengumumkan keputusannya Ahad lalu.

Tiga kumpulan itu juga menyebut akhbar-akhbar harian berbahasa Melayu saling berlumba-lumba menunjukkan sokongannya kepada Barisan Nasional.

Sabtu lalu, laporan pemantauan itu dipetik, Berita Harian dan Utusan Malaysia masing-masing melaporkan 65 peratus daripada 38 bahan berita dan 84 peratus (31 bahan) yang condong kepada BN.

Menurut blog pemantau media itu lagi, Radio 24 , stesen radio berita 24 jam milik agensi berita Bernama , pula cuba melaporkan berita-berita dengan berimbang, .

Bagaimanapun mereka ragu-ragu sama ada ia boleh bertahan untuk terus berbuat demikian sepanjang tempoh kempen ini sehingga hari mengundi pada 8 Mac.

Menurut pengarah eksekutif CIJ, Gayathry Venkiteswaran, kumpulan ini bercadang mengemaskini laporan pemantauan setiap hari di blog tersebut.

Dengan 10 sukarelawan, tiga NGO itu memantau iklan dan berita di empat stesen TV termasuk NTV7 dan RTM2, tiga akhbar berbahasa Inggeris, dua akhbar berbahasa Melayu dan beberapa media dalam talian dan blog politik popular.

Gayathry berkata kumpulan itu masih kurang tenaga sukarelawan untuk memantau akhbar-akhbar berbahasa Cina dan juga stesen-stesen TV dan radio.

"Mungkin kerana kebanyakan orang ada kerja lain, khususnya ketika siaran langsung berita, dan sebahagian yang lain lebih senang berkempen untuk parti-parti politik," katanya kepada Malaysiakini .