Bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang Dr Hilmi Yahaya diuar-uarkan akan mencabar presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail di kerusi parlimen Permatang Pauh.

Sementara kerusi Hilmi sekarang di Balik Pulau mahu diserahkan Senator Nor Mohamed Yakcob, kini Menteri Kewangan Kedua.

Peralihan kerusi antara dua calon itu bertujuan merampas kerusi Permatang Pauh daripada PKR dan sekali gus membawa Nor Mohamed ke Dewan Rakyat melalui kemenangan di kerusi selamat.

Strategi ini bagaimanapun boleh membawa masalah apabila semua bahagian komponen BN di Balik Pulau tidak menyenangi calon dari luar.

"Balik Pulau tidak perlukan seorang calon luar untuk bertanding di sini. Dr Hilmi seorang pemimpin berkemampuan. Beliau tidak wajar dikorbankan," seorang pemimpin Umno tempatan memberitahu Malaysiakini .

Dalam tempoh seminggu ini, pemimpin-pemimpin parti komponen BN mengadakan beberapa perbincangan untuk mengatasi kemelut melepaskan calon kegemaran mereka dan juga ketua Umno bahagian ke kerusi yang mungkin menyebabkannya tewas.

Difahamkan parti-parti komponen sedang menimbangkan rancangan untuk menyerahkan satu memorandum bantahan kepada pengerusi BN Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam beberapa hari lagi.

Jika pemimpin atasan BN terus memaksa calon "payung terjun", ahli parti-parti komponen itu mengancam untuk mensabotaj undi.

Masalah ini boleh menyebabkan kedua-dua kerusi parlimen itu, Balik Pulau and Permatang Pauh, jatuh ke tangan pembangkang.

Pada 2004, Wan Azizah menang dengan majoriti kecil 449 undi apabila dicabar timbalan Umno bahagian itu dan bekas imam Masjid Negara, Pirdaus Ismail.

Daftar pemilih tahun itu menunjukkan Permatang Pauh mempunyai 54,041 pemilih, dengan 67.6 Melayu, 26.3 peratus Cina dan 8.5 peratus India.

Dalam pilihanraya umum yang sama, Hilmi memenangi Balik Pulau dengan majoriti 12,165 undi ketika dicabar calon PKR, Dr Rohana Ariffin.

Beliau kemudiannya dilantik sebagai setiausaha parlimen Kementerian Kewangan.