Beberapa pemimpin Umno di Johor mendakwa perbuatan melobi untuk menjadi calon sudah lumrah dan tidak akan menjejaskan perpaduan di kalangan ahli seperti terbukti dalam pilihanraya-pilihanraya umum sebelumnya.

"Mereka mungkin melobi tidak sampai ke tahap berbalah atau bergaduh sesama sendiri semata-mata mahu menjadi calon.

"Di bahagian saya ada juga yang melobi untuk menjadi calon tetapi akhirnya mereka akur dengan keputusan bahagian yang memilih calon melalui pengundian di kalangan ahli jawatankuasa (AJK) bahagian," kata ketua Umno bahagian Simpang Renggam, Datuk Abdul Hamid Abdul Rahman.

Beliau berkata, Umno bahagian itu mencalonkan lima AJK untuk bertanding kerusi parlimen Simpang Renggam dan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), Machap dan Layang-Layang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap itu diminta mengulas mengenai dakwaan berlaku perbalahan dalaman di beberapa bahagian Umno di negeri itu.

Pengerusi badan perhubungan Umno Johor Datuk Abdul Ghani Othman, mengulas perkara yang sama kelmarin, menggesa mereka menghentikan perbalahan tersebut dan bersatu demi memperkukuhkan lagi parti itu yang menjadi tulang belakang Barisan Nasional.

Ketua Umno bahagian Segamat, Datuk Othman Jais pula berkata, beliau tidak mengetahui ada pemimpin parti itu yang berbalah kerana mahu menjadi calon.

Adun Buluh Kasap itu berkata, sejak sekian lama, Umno bahagian mengamalkan prinsip bermesyuarat dan jika perlu mengundi untuk memilih calon.

"Tanggungjawab Umno bahagian cuma menghantar senarai calon kepada badan perhubungan negeri untuk dipilih.

"Kali ini kami menghantar lima nama untuk parlimen Segamat walaupun sekarang dipegang calon MCA dan lima nama untuk DUN Buluh Kasap," katanya lagi.

Othman, yang sudah lima penggal sebagai Adun Buluh Kasap, berkata sebenarnya tidak ada sebarang perselisihan di kalangan pemimpin Umno bahagian mengenai senarai calon.

Katanya, jika ada cuma masalah kecil tetapi tidak ada sampai ke peringkat berbalah semata-mata hendak menjadi calon pilihanraya.