Pengerusi MIC Perai keluar parti

Kerana tidak puashati dengan kepimpinan parti, Pengerusi MIC cawangan Bandar Perai R Ulaganathan bertindak keluar parti untuk bertanding sebagai calon bebas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Prai 8 Mac ini.

Ulaganathan telah menyerahkan surat peletakkan jawatannya kepada pengerusi MIC negeri Datuk Dr K. Rajapathy, yang juga penyandang kerusi DUN Prai.

Bercakap dalam satu sidang akhbar semalam, ahli perniagaan berusia 45 tahun itu mendakwa kepimpinan parti tersebut gagal menangani masalah perpecahan dalam parti.

"Keputusan saya ini adalah muktamad dan saya tidak akan kembali ke MIC," kata ahli perniagaan itu yang menyertai MIC pada 1994 dan pernah menjadi naib pengerusi MIC Bagan dari tahun 1994 hingga 2005.

Shahrizat yakin dipilih di Lembah Pantai

Barisan Nasional (BN) yakin pengundi di kawasan Parlimen Lembah Pantai tetapi memilih BN 8 Mac depan.

Naib Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menyuarakan keyakinan tersebut berdasarkan rekod perkhidmatan cemerlang BN di kawasan tersebut.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil merupakan penyandang kerusi tersebut sejak 1999.

Shahrizat diminta mengulas laporan akhabar mengenai kesediaan Nurul Izzah Anwar, 27, anak sulung bekas timbalan perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk bertanding di Lembah Pantai dalam pilihanraya umum kali ini.

Bercakap dalam satu sidang akhbar semalam, beliau berkata, biarpun parti pembangkang meletakkan calon pilihan masing-masing di situ 8 Mac ini, namum penduduk setempat tetap menerima calon BN.

Menurutnya, beliau sudah memberi perkhidmatan terbaik untuk penduduk di kawasan tersebut.

Pengikut PAS didakwa halang penguatkuasa

Di Kuala Terengganu, enam anggota penguatkuasa wanita Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) terpaksa menyelamatkan diri dengan menaiki kenderaan penguatkuasa selepas dikejar pengikut sebuah parti parti politik, ketika hendak menurunkan bendera parti tersebut.

Dilaporkan, selepas itu, sekumpulan 150 pengikut PAS cuba menghalang 40 anggota penguatkuasa MBKT menurunkan bendera parti itu yang dipasang di tempat larangan di Bulatan Batu Enam di bandar itu.

Kejadian tersebut dilaporkan berlaku pada jam 11 pagi semalam ketika anggota penguatkuasa MBKT hendak menurunkan bendera parti itu yang dipasang di tengah-tengah bulatan dan di kerangka besi.

Keadaan dapat dikawal hasil tindakan pantas sepasukan anggota polis.

Datuk Bandar Datuk Mat Razali Kassim berkata, pihaknya telah memaklumkan kepada semua parti politik, dalam satu pertemuan pada 14 Februari lalu, tentang lokasi yang dilarang dipasang bendera dan poster, dan ini termasuk Bulatan Batu Enam, Bulatan Sultan Omar dan Bulatan Ladang kerana boleh mengganggu keselamatan pengguna jalaraya.

Menurutnya, parti-parti yang telah berbuat demikian diberi tempoh sehingga malam semalam untuk menurunkan bendera masing-masing tetapi PAS tidak berbuat demikian, menyebabkan MBKT terpaksa mengambil tindakan.

Polis T'ganu terima 33 laporan

Manakala polis Terengganu pula menerima 33 aduan berhubung insiden kekecohan akibat perbuatan menurun dan memusnahkan bendera parti lawan.

Sebanyak 10 laporan diterima di Kuala Terengganu, sembilan di Kemaman, 11 di Dungun dan tiga di Marang.

Menurut Ketua Polis Terengganu Datuk Ayub Yaakob berkata, polis telah membuat siasatan sembilan kes setakat ini - enam kes di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan di bawah kesalahan ugutan jenayah, aitu lima di Kuala Terengganu dan satu di Dungun.

Di samping itu, katanya, polis juga telah menyiasat masing-masing satu kes di Kemaman dan Dungun di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat sehingga menyebabkan kerugian dan satu kes melibatkan Sesyen 379 kanun yang sama atas kesalahan mencuri yang dilaporkan berlaku di Kemaman.

Wanita MCA serah senarai calon

Wanita MCA telahpun menyerahkan senarai calon berpotensi pergerakan itu kepada pucuk pimpinan parti untuk dipilih bertanding dalam pilihanraya umum kali ini.

Dalam pilihanraya umum 2004, calon Wanita MCA berjaya memenangi 10 daripada 11 kerusi.

Ketuanya, Datuk Dr Ng Yen Yen pula dijangka dipilih semula mempertahankan kerusi Parlimen Raub untuk penggal ketiga.

Pada 2004, Dr Ng menewaskan Choong Siew Onn dari DAP dengan majoriti 9,752 undi.

Menurut Dr Ng, pergerakan tersebut berharap pihak parti akan memperuntukkan kerusi tambahan untuk ditandingi calon wanita 8 Mac ini.

DAP mesyuarat dua hari tentu calon

Hari ini masuk hari kedua mesyuarat DAP peringkat pusat bagi menentukan calon dan kerusi yang akan mereka tandingi 8 Mac depan.

Mesyuarat dua hari ini diadakan di Pulau Pinang mulai semalam.

Mesyuarat itu akan menjawab persoalan sama ada Pengerusi DAP, Karpal Singh akan bertanding di kawasan Parlimen Bagan dari Bukit Gelugor.

Ketika ditanya mengenainya, Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata: "Memang ada cadangan untuk meletak Karpal Singh bertanding di situ, tetapi belum muktamad dan ia akan ditentukan selepas mesyuarat ini".

Sebelum ini timbul ura-ura bahawa penasihat parti itu, Lim Kit Siang atau anaknya Lim Guan Eng selaku setiausaha agung parti mengambil alih tempat Karpal.

PPP, Gerakan S'gor tidak tukar kerusi

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo berkata tiada perubahan kerusi, khususnya kerusi Kota Alam Shah yang diwakili oleh Gerakan dalam pilihanraya umum lalu.

"Sehingga sekarang, tiada sebarang perubahan. Status quonya masih sama," katanya kepada pemberita.

Dr Khir, yang juga pengerusi BN Selangor ditanya sama ada kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Alam Shah akan diwakili Parti Progresif Penduduk (PPP).

Gerakan dilaporkan bersetuju untuk bertukar kerusi dengan PPP sebagai balasan mengembalikan semula kerusi DUN Pasir Bedamar di Perak.

PPP bertanding di Pasir Bedamar dan Gerakan di Kota Alam Shah dalam pilihanraya umum 2004.

Sandakan: Chong masih membisu

Penyandang kerusi Parlimen Sandakan, Chong Hon Min yang sebelum ini pernah memohon menyertai sebuah parti komponen Barisan Nasional (BN) Sabah pada 2006, masih membisu sama ada akan sekali lagi bertanding sebagai calon bebas 8 Mac ini.

Chong merupakan satu-satunya calon bebas yang menang kerusi Parlimen di Sabah pada 2004.

Dalam pilihanraya tersebut, beliau menewaskan calon Parti Liberal Demokratik (LDP) Datuk Lau Ngan Siew yang juga timbalan presiden LDP.

Sehingga ini, Chong belum mendapat maklum balas mengenai permohonannya untuk menyertai BN itu.

"Saya belum membuat apa-apa keputusan, tetapi bila tiba masanya, saya akan umumkan," katanya ketika ditanya mengenainya.

Chong berkata beliau akan membuat pengumuman berhubung perkara itu dalam tempoh tiga hingga empat hari lagi.