Kualiti aset dan sumber keuntungan Lembaga Tabung Haji (TH) perlu menjadi antara ukuran utama dalam menilai kekuatan kewangan institusi itu, selain kadar agihan keuntungan kepada pendeposit, kata pakar ekonomi.
Pensyarah Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Profesor Madya Dr Abdul Rahim Ridzuan berkata perhatian perlu diberikan kepada sumber yang menjana keuntungan TH, termasuk sama ada ia disokong prestasi aset yang kukuh atau dipengaruhi faktor bersifat sementara.
“Jangan hanya tanya ‘berapa peratus hibah?’, tetapi tanya juga ‘dari mana keuntungan itu datang, seberapa mampan dan seberapa kukuh aset yang menyokongnya?’,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata walaupun kadar agihan keuntungan yang baik sememangnya penting kerana memberi manfaat secara langsung kepada pendeposit, namun keuntungan yang tinggi sahaja belum mencukupi untuk menunjukkan sesebuah institusi telah benar-benar pulih.

Sebaliknya, Abdul Rahim berkata penilaian terhadap kekuatan kewangan TH perlu merangkumi kualiti dan prestasi aset, kestabilan pendapatan serta keuntungan jangka panjang, selain ketelusan laporan kewangan dan maklumat pelaburan.
Katanya, perkara itu penting bagi membolehkan pendeposit menilai asas yang menyokong prestasi kewangan TH dan bukan hanya jumlah agihan yang diterima pada sesuatu tahun.
Bagi tahun kewangan 2025, TH mencatat prestasi terbaik dalam tempoh lapan tahun dengan pendapatan pelaburan meningkat kepada RM4.64 bilion daripada RM4.56 bilion pada 2024, manakala aset pelaburan bertambah kepada RM96.37 bilion daripada RM95.06 bilion.
TH turut mengumumkan agihan keuntungan 3.50 peratus berjumlah RM3.22 bilion kepada lebih 9.7 juta pendeposit bagi 2025, meningkat daripada 3.25 peratus bagi tahun sebelumnya.
Dalam usaha mengetengahkan pencapaian itu, Abdul Rahim berkata TH perlu mengamalkan pendekatan “ketelusan dengan akauntabiliti” dengan bukan sahaja memaklumkan prestasi kewangan, malah menunjukkan penambahbaikan yang telah dilaksanakan terhadap kelemahan terdahulu.
Beliau berkata pencapaian seperti prestasi kewangan yang lebih baik dan peningkatan kualiti aset boleh diketengahkan kepada masyarakat, namun hebahan itu perlu dibuat bersama penerangan mengenai perubahan yang telah dilaksanakan.
“Mengakui kelemahan tidak melemahkan institusi. Sebaliknya, kemampuan untuk belajar daripada kelemahan dan menunjukkan pembaikan secara terbuka boleh menguatkan keyakinan masyarakat,” katanya.
Abdul Rahim berkata ketelusan dan akauntabiliti dalam proses membuat keputusan pelaburan turut menjadi antara indikator penting dalam menentukan sama ada kekuatan kewangan TH boleh dikekalkan dalam tempoh panjang.
"Keuntungan yang dicatatkan pada hari ini sahaja tidak dapat menentukan keselamatan dana pendeposit untuk tempoh 10 atau 20 tahun akan datang tanpa proses membuat keputusan yang jelas dan boleh dipertanggungjawabkan.
“Kalau proses pelaburan jelas, risiko dinilai secara bebas, konflik kepentingan dikawal, prestasi dipantau dan pihak yang membuat keputusan boleh dipertanggungjawabkan, maka keyakinan itu mempunyai asas yang lebih kukuh,” katanya.
- Bernama
