BN tidak akan menghadapi sebarang masalah berdepan dengan anak Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang disebut-sebut bertanding di kawasan Lembah Pantai, kata timbalan pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin.

Nurul Izzah Anwar dijangka bertanding sama ada di kerusi itu atau Wangsa Maju.

khairy jamaluddin Penyandang kerusi itu Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil sebagai naib ketua Wanita Umno serta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merupakan calon berwibawa, tambah Khairy.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan jentera Gerak Gempur Pemuda BN bahagian itu malam tadi.

Menurut Khairy, yang disebut-sebut bertanding di kerusi Rembau, dasar program kebajikan yang dibawa PAS akan menyebabkan defisit Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada 12 peratus.

Tentang PKR pula, beliau berkata semua janji parti pembangkang itu "mengarut".

Turut hadir di majlis itu, ketua Pemuda BN Wilayah Persekutuan Datuk Norza Zakaria.

Dalam ceramahnya, Khairy tidak lupa melancarkan serangan terhadap Anwar, dengan menyifatkan bekas timbalan perdana menteri itu sebagai pengkhianat dan munafik.

"Anwar memulakan rasuah dan segala kudisnya yang ditinggalkan dalam Umno. Beliau sebenarnya munafik nombor satu," katanya di depan kira-kira 200 penyokong dan ahli Pemuda BN.

Khairy menggesa pengundi supaya menolak Anwar yang disifatkannya sebagai pengkhianat negara.

"Saya meluat dan hendak muntah bila dengar nama Anwar. Anwar, kamu tidak dialu-alukan datang ke Kampung Kerinchi," katanya, sambil mendapat tepukan orang ramai.

Timbalan ketua Pemuda Umno itu, yang juga menantu Perdana Menteri, menyifatkan pakatan pembangkang seperti orang berkahwin secara mutaah.

Katanya, sebelum pilihanraya umum 1999, mereka berkahwin dan selepas itu bercerai dan begitulah dalam pilihanraya umum 2004 dan 2008.

"Hari ini kahwin, satu malam, lepas tu cerai. " katanya.

Khairy mendakwa agenda Anwar ialah supaya negara ini berhutang dengan negara-negara Barat dengan meminjam wang ketika beliau menjadi Menteri Kewangan dulu.

Katanya, Anwar mempunyai hubungan baik dengan pemimpin Amerika Syarikat, Bank Dunia dan Tabung Mata Wang Antrabangsa (IMF).

"Siapa beri pinjaman tentulah rakan-rakan beliau tetapi siapa yang akan bayar?" katanya lagi.

Khairy juga menegaskan BN tidak takut berdepan dengan Anwar, presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail atau Nurul Izzah jika mereka bertanding di Lembah Pantai.

Katanya, walaupun mereka bertanding, BN akan tetap menang di Lembah Pantai.