Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Selangor pertimbang cuti peristiwa jika mucul juara keseluruhan Sukma - Exco

Kerajaan Negeri Selangor akan mempertimbangkan untuk memberikan cuti peristiwa jika kontinjen Sukan Malaysia (SUKMA) negeri berkenaan berjaya meraih gelaran juara keseluruhan pada temasya itu.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Mohd Najwan Halimi berkata perkara itu hanya akan diumumkan selepas kiraan pingat dimuktamadkan dengan kontinjen Selangor menunjukkan peluang cerah untuk menamatkan temasya dengan cemerlang.

“Cuti akan kami usulkan kepada Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari untuk beliau pertimbangkan. Seandainya kami muncul juara keseluruhan, mungkin boleh dipertimbangkan untuk diberikan insentif kepada rakyat Selangor.

“Insentif untuk atlet yang berjaya, insya-Allah kami akan gerakkan selepas selesai SUKMA ini nanti,” katanya pada sidang media perkembangan semasa SUKMA Selangor 2026 di Bangunan Majlis Sukan Negeri Selangor di Shah Alam hari ini.

Najwan berkata setakat 2.50 petang hari ini Selangor berjaya mengutip 85 emas dengan yang terkini disumbangkan antaranya oleh pasukan e-sukan (MLBB) wanita, acara terjun 3m papan anjal individu wanita, ping pong perseorangan wanita dan boling padang perseorangan lelaki.

“Cuma saya ingatkan juga kepada atlet untuk terus fokus, ada berbaki lebih kurang sehari setengah lagi untuk kami menamatkan SUKMA ini dan pastinya berikanlah yang terbaik. Soal menang atau kalah itu adat dalam pertandingan,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS