Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang menyambut ulang tahun ke-101 pada Julai lalu, telah melalui lebih satu abad pergolakan politik, perubahan sosial dan krisis global.
Namun, dengan pengalaman yang luas itu, Mahathir berkata beliau kini berasa hairan dengan keadaan pelik dan membimbangkan yang berlaku di Malaysia serta seluruh dunia.
Dalam satu hantaran di media sosial, Mahathir menyifatkan keadaan itu berpunca daripada “pemimpin-pemimpin pelik yang membuat keputusan pelik” yang menerajui banyak negara, termasuk Malaysia.
“Di dalam negara pula tidak lebih baik. Terdapat banyak kes mahkamah. Keputusan pelik dibuat. Orang yang melakukan kesalahan kecil dihukum. Mereka yang mencuri berjuta-juta dibebaskan dan dilantik ke jawatan tinggi,” katanya tanpa menyebut nama atau kes tertentu.
Mahathir mengingatkan bahawa “terlalu banyak perkara pelik sedang berlaku, yang kebanyakannya tidak baik untuk manusia”. Dia turut menyatakan kebimbangan terhadap sikap yang semakin tidak mengendahkan keadilan, akauntabiliti dan nyawa manusia.
Di peringkat antarabangsa, katanya, terdapat dua peperangan yang tidak sepatutnya berlaku dan telah mengorbankan puluhan ribu nyawa. Dia turut mempersoalkan mengapa tiada usaha berkesan dilakukan untuk menamatkan peperangan tersebut.
“Jumlah kematian, mereka yang cedera, kehilangan harta benda dan kerugian amat besar. Dan tiada siapa berbuat apa-apa. Tiada apa yang diperoleh,” katanya.
Mahathir turut merujuk kepada penahanan Presiden Venezuela, Nicolás Maduro oleh Amerika Syarikat serta pembunuhan pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei.

“Kemudian, seorang pemimpin yang dipilih rakyat ditangkap oleh negara lain. Ada juga pemimpin yang dibunuh walaupun negaranya tidak berperang dengan negara yang membunuhnya.
“Kemudian, sebuah negara tiba-tiba diserang dan pemimpinnya dibunuh sehingga mencetuskan peperangan. Kini, negara yang menyerang itu mengebom dan melancarkan serangan roket ke atas negara tersebut. Negara itu pula menyerang pangkalan negara penceroboh di beberapa negara,” katanya.
Pergolakan dunia
Mengenai keadaan di Gaza, Mahathir kesal dengan skala kemusnahan yang berlaku, dengan mengatakan seluruh bandar itu telah menjadi padang jarak padang terkukur akibat konflik yang berterusan.

Negarawan itu turut menyentuh mengenai peperangan antara Rusia dan Ukraine, yang disifatkannya sebagai konflik tidak perlu memandangkan Ukraine tidak mampu mengalahkan Rusia, walaupun kos yang ditanggung dari segi nyawa manusia dan kemusnahan harta benda amat besar.
“Terdapat peperangan antara Ukraine dan Rusia – satu peperangan yang bodoh kerana Ukraine tidak mampu mengalahkan Rusia. Tetapi ribuan orang mati dan seluruh bandar musnah,” katanya.
Menggambarkan dunia kini berada dalam “keadaan bergolak”, Mahathir berkata peristiwa yang suatu ketika dahulu dianggap luar biasa kini seolah-olah berlaku tanpa menimbulkan kebimbangan atau kesan yang ketara.
“Dan begitulah ia berterusan. Peristiwa demi peristiwa berlaku tanpa penghujung. Tiada siapa nampaknya peduli,” katanya.
