Sempena ulang tahun kesembilan penghijrahan besar-besaran etnik Rohingya ke Bangladesh, 16 perwakilan diplomatik di Dhaka, termasuk United Kingdom (UK), Australia, Kanada dan Kesatuan Eropah (EU), pada Selasa mengingatkan kembali mengenai hak etnik Rohingya untuk pulang ke negara asal mereka, Myanmar, lapor Anadolu Ajansi.
Bangladesh memberi perlindungan kepada kira-kira 1.2 juta etnik Rohingya yang ditindas di pesisir Cox's Bazar di tenggara negara itu selepas mereka melarikan diri daripada tindakan keras tentera Myanmar dan mula menyeberangi sempadan pada 25 Ogos 2017.
Bagaimanapun, sembilan tahun selepas penghijrahan besar-besaran itu, konflik semakin meruncing di seluruh Rakhine dan keperluan kemanusiaan semakin meningkat, menurut kenyataan bersama perwakilan diplomatik berkenaan.
"Keadaan keselamatan yang semakin meruncing, serangan udara terhadap infrastruktur awam serta sekatan pihak berkuasa Myanmar terhadap bantuan dan perdagangan memburukkan lagi krisis kemanusiaan," menurut kenyataan itu sempena Hari Peringatan Genosid Rohingya yang disambut pada 25 Ogos.

Kenyataan itu memaklumkan ketidakstabilan berkenaan menyebabkan semakin ramai etnik Rohingya terpaksa berpindah ke Bangladesh dan kawasan lain di rantau ini, hingga mengakibatkan kematian dalam penyeberangan laut yang berbahaya, sambil menambah bahawa keadaan ketika ini tidak memungkinkan penghantaran pulang secara sukarela, selamat, bermaruah dan mampan.
Perwakilan diplomatik berkenaan memaklumkan bahawa usaha mewujudkan keadaan yang membolehkan etnik Rohingya pulang memerlukan pendekatan strategik, terselaras dan jangka panjang bagi menangani punca utama yang menyebabkan mereka terpaksa berpindah, membina kepercayaan antara komuniti serta menyokong keamanan dan kestabilan yang lebih kukuh di Myanmar.
Mereka turut memaklumkan akan terus bekerjasama dengan Bangladesh bagi mencari jalan ke arah mewujudkan keadaan yang membolehkan penghantaran pulang dilaksanakan.
"Ketika krisis ini memasuki tahun ke-10, kita mesti memastikan etnik Rohingya tidak dilupakan. Kami akan terus menyuarakan pandangan komuniti Rohingya, menuntut keadilan dan akauntabiliti serta bekerjasama dengan Bangladesh dan rakan antarabangsa untuk mengekalkan sokongan global,” menurut kenyataan itu.
- Bernama- Anadolu
