Kumpulan sami daripada Biara Gua Sakyamuni di Gunung Kanthan, Perak hari ini menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) pula dalam usaha menyelamatkan rumah ibadat itu daripada perobohan.
Ditemani kumpulan peguam Lawyers for Liberty (LFL), mereka antaranya mendakwa perobohan biara itu menjejaskan kebebasan beragama yang dilindungi bawah Perkara 3(1), Perkara 11(1) dan Perkara 11(3) Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 3(1) memperuntukkan bahawa agama selain Islam boleh diamalkan dengan aman dan harmoni di mana-mana bahagian Persekutuan, manakala Perkara 11(1) menjamin hak seseorang untuk menganut dan mengamalkan agamanya.
Perkara 11(3) pula antara lain menjamin hak kumpulan agama untuk menguruskan hal ehwal agamanya sendiri serta menubuhkan dan menyelenggara institusi bagi tujuan keagamaan.
“Hari ini saya faham bahawa hak asasi saya adalah hak beribadat di tempat ini dan mempertahankan warisan negara yang tak boleh dicari di tempat lain.
“Ini ialah hak saya,” kata Bhante Kusala, ketua kumpulan sami itu yang nama sebenarnya Chiong Sai Tin.
Dia berkata demikian ketika menjelaskan perkara itu kepada Suhakam.
Awal bulan ini mereka telah meminta bantuan Perdana Menteri Anwar Ibrahim membantu menyelamatkan rumah ibadat mereka daripada perobohan.
Biara didakwa berusia seratus tahun itu berada dalam kawasan Tambun yang juga kerusi parlimen Anwar. Mereka ketika itu membangkitkan isu alam sekitar dan tapak warisan.
Pada 2023, Mahkamah Rayuan membenarkan pengeluar simen Associated Pan Malaysia Cement (APMC) untuk mengusir biara di Lot No. 46497 di Hulu Kinta.
Panel tiga hakim terdiri daripada Azizah Nawawi, See Mee Chun dan Zaini Mazlan, memutuskan biara itu gagal membangkitkan sebarang isu yang boleh dibicarakan untuk menghalang pemberian perintah.
Mahkamah juga menerima hujah syarikat bahawa sebagai pemilik berdaftar mereka berhak untuk berjaya dalam permohonan ringkas bagi pemilikan selepas rayuan didengar.
Piawaian antarabangsa
Sementara itu, memorandum itu juga membangkitkan piawaian antarabangsa dalam Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 (UDHR).
“Perkara 18 UDHR melindungi kebebasan berfikir, hati nurani, dan beragama, termasuk kebebasan untuk menzahirkan agama dalam bentuk ibadat, amalan, dan kepatuhan.
“Perkara 27 pula melindungi hak untuk mengambil bahagian secara bebas dalam kehidupan budaya komuniti,” memorandum lapan halaman itu dipetik.
Mereka juga berkata aduan mereka itu tidak menyentuh urusan mahkamah.
"Ia menyentuh mengenai hak untuk mengamalkan agama dan kegagalan berterusan kerajaan persekutuan serta kerajaan negeri dalam membuat keputusan ke atas permohonan yang dikemukakan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005, yang tidak menjadi subjek mana-mana tindakan saman, dan tergolong sepenuhnya bawah fungsi Suhakam.
“Kami dengan penuh hormat memohon Suhakam untuk menyiasat perkara ini sebagai kes terdesak, melawat tapak berkenaan, dan membuat pengesyoran kepada kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Perak demi pemeliharaan biara tersebut sebagai tempat ibadat,” menurut memorandum itu lagi.
Suhakam sedia turun padang
Sementara itu, Pesuruhjaya Suhakam Abdul Kadir Jailani Ismail yang menerima memorandum itu meminta pihak biara menyerahkan dokumen berkaitan termasuk surat-menyurat dengan kerajaan negeri, pejabat menteri besar dan pihak berkuasa lain untuk diteliti mereka.
“Kita akan kaji dokumen, kita tengok sejauh mana perkembangan.
“Kita nak tengoklah tindakan-tindakan yang kerajaan negeri buat, ke mana hala tujunya,” katanya ketika menerima memorandum itu.
Abdul Kadir Jailani turut menyatakan kesediaan untuk mengadakan lawatan ke Gunung Kanthan bagi melihat sendiri keadaan di lokasi.
‘Nak letup baru cakap tak selamat’
Sementara itu, Bhante Kusala menolak kebimbangan mengenai keselamatan gua yang sebelum ini dibangkitkan APMC.
Sebelum ini, APMC berkata penilaian geologi di kawasan biara mengenal pasti kebimbangan keselamatan termasuk rekahan dan bukti kejadian batu jatuh.
Bagaimanapun, Kusala berkata pihak biara telah mendapatkan penilaian keselamatan daripada ahli geologi profesional yang mendapati ia selamat.
“Kami orang sudah duduk di sana lebih daripada 100 tahun, tak ada satu kejatuhan (batu) pun.
“Kenapa dia cakap tak selamat? Sebab bila nak letup baru cakap tak selamat,” dakwanya.
Malaysiakini sedang cuba mendapatkan komen YTL Cement Bhd sebagai syarikat induk kepada APMC melalui firma perhubungan awam yang dilantik mereka.
