Ismail Sabri Yaakob hari ini mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibicarakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Bekas perdana menteri itu didakwa tidak mendedahkan pelbagai asetnya yang bernilai jutaan ringgit, termasuk jongkong emas dan jongkong perak serta syiling emas kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tahun lalu.
Ahli Parlimen Bera itu mengaku tidak bersalah di hadapan hakim Suzana Husin.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu dengan memberikan penyataan bertulis bersumpah yang tidak mematuhi notis SPRM di bawah Seksyen 36(1) Akta SPRM 2009 pada 7 Feb 2025.
Menurut kertas pertuduhan, Ismail Sabri, 66, telah diberikan notis SPRM pada 10 Jan tahun yang sama.
Mengikut kertas pertuduhan, harta Ismail Sabri yang disenaraikan ialah wang tunai RM14,772,150, serta mata wang asing Singapura (S$6,132,350) AS (AS$1,461,400), Switzerland (CHF3,000,000), Euro (€12,164,150), Yen Jepun (¥363,000,000), pound streling (£50,250), dolar New Zealand (NZ$44,600), dirham UAE (AED34,750,000) dan dolar Australia (A$352,850).
Turut disenaraikan lima ketul jongkong emas Petak Suisse Fine Gold seberat 1kg setiap satu selain seketul jongkong perak Petak Suisse Fine Silver seberat 100g dan sekeping syiling emas 999 Fine Gold seberat 5 gram.
Pendakwaan hari ini menjadikan Ismail Sabri sebagai bekas perdana menteri ketiga yang didakwa di mahkamah di bawah Akta SPRM.
Ismail Sabri yang sebelum ini pernah menjadi Naib Presiden Umno didakwa melakukan kesalahan tersebut di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada 7 Feb tahun lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda tidak lebih RM100,000 jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Farah Ezlin Yusop Khan selaku timbalan pendakwa raya, manakala Amer Hamzah Arshad bertindak sebagai peguam Ismail Sabri.
Wujud situasi pelik
Semasa prosiding, Farah Ezlin berkata pertuduhan itu merupakan kesalahan yang tidak boleh dijamin namun mengakui mahkamah memiliki budi bicara mengikut Seksyen 388(1) Kanun Prosedur Jenayah, untuk bertindak sebaliknya.
Justeru dia mencadangkan Ismail Sabri diikat jamin RM500,000 dengan seorang penjamin, serta pasport Ismail diserahkan kepada mahkamah.
Tambah Farah Ezlin, Ismail mempunyai rangkaian antarabangsa yang luas dan penyerahan pasportnya kepada mahkamah dapat memastikan prosiding berjalan lancar.
“Sekiranya pasport tidak diserahkan di mahkamah, keberadaan tertuduh akan sukar untuk kami ikuti dan memastikan bila dia perlu menghadiri prosiding mahkamah apabila diperlukan.
“Oleh itu, kami berpendapat jaminan RM500,000 yang dicadangkan serta syarat tambahan yang dicadangkan adalah munasabah,” katanya.

Amer Hamzah dalam reaksinya pula berkata jumlah jaminan tidak boleh bersifat hukuman dan tidak boleh berlebihan.
Dia juga menekankan bahawa Ismail Sabri sebelum ini menghadapi permohonan pelucutan hak terkait aset yang sama dalam kertas pertuduhan di mahkamah itu.
“Ini mewujudkan situasi yang sangat pelik… Kami akan meneliti pertuduhan ini dengan cermat, dan berhak untuk mencabar pertuduhan tersebut,” katanya.
Amer Hamzah juga mencabar cadangan syarat ikat jamin tambahan pihak pendakwaan, dengan mengemukakan bahawa tiada sedikit pun bukti yang dikemukakan untuk menunjukkan bahawa ahli politik terbabit berisiko melarikan diri.
Dia kemudian merayu kepada mahkamah untuk mempertimbangkan jumlah ikat jamin tidak melebihi RM250,000.
Mahkamah kemudian memerintahkan ikat jamin RM300,000 dengan seorang penjamin daripada ahli keluarga. Hakim tidak merampas pasport Ismail Sabri kerana memutuskan tiada bukti yang menunjukkan tertuduh berisiko melarikan diri.
Mahkamah juga menetapkan 29 September untuk sebutan kes.
