Kereta api terakhir hampir berlepas, tetapi Nur Aamily Safiyya Mohd Zabari enggan meninggalkan dewan pertandingan The International World Innovative Student Exhibition (iWISE) di University of Surrey di United Kingdom.
Pingat emas acara syarahan awam (public speaking) dalam bahasa Inggeris sudah pun berada di dalam genggaman murid cilik berusia 11 tahun itu. Ibu bapanya pula semakin gelisah memikirkan perjalanan kira-kira sejam setengah untuk kembali ke pusat kota London.
Namun, Aamily mahu menunggu satu lagi keputusan - anugerah persembahan terbaik (best performer).
“Dia cakap dia tak nak (balik), dia nak tunggu.
“Dia kata dia nak tunggu ranking. Dia macam confident dia boleh dapat,” cerita ibunya, Nurul Husna Azon.

Keyakinan itu berbaloi. Nama Aamily diumumkan sebagai pemenang tempat ketiga, sebelum malam kemenangan itu bertukar menjadi perlumbaan bergegas mengejar kenderaan buat dia dan keluarganya.
Beberapa tahun lalu, ibunya sukar membayangkan Aamily akan berdiri di pentas antarabangsa, apatah lagi berkeras mahu menunggu keputusan kerana yakin namanya bakal dipanggil.
Dia merupakan seorang murid pemalu yang lebih rela membiarkan rakan-rakannya menjawab soalan di dalam kelas.
Seluruh perjalanan itu, katanya bermula hanya kerana satu perkara, "bosan."
Ke pentas antarabangsa
Ketika cuti sekolah pada Disember lalu, Aamily meminta ibunya mencarikan sebarang pertandingan bahasa Inggeris untuk mengisi masa lapang.
Beberapa bulan kemudian, permintaan seorang kanak-kanak yang sekadar mahu menghilangkan kebosanan itu membawanya lebih 10,000 km dari Nibong Tebal, Pulau Pinang, ke United Kingdom.
Dia pulang dengan pingat emas kategori Public Speaking dalam pertandingan antarabangsa iWISE London Global Final 2026.

Menurut Nurul Husna, pertandingan itu menghimpunkan kira-kira 500 peserta dari 29 negara, dengan Aamily bersaing bersama 50 peserta dalam kategorinya.
Dia turut menduduki tempat ketiga bagi anugerah Best Performer—pencapaian yang sebenarnya lebih mengujakan Aamily berbanding pingat emas.
Namun, sebelum sampai ke pentas itu, Aamily perlu terlebih dahulu menewaskan rasa gementarnya sendiri.
“Dia seorang yang pemalu dan pendiam di dalam kelas. Dia kurang bercakap, tapi sebenarnya dia tahu.

“Kalau cikgu tanya soalan, dia tak akan volunteer untuk jawab.
“Dia akan biarkan kawan-kawan jawab. Kalau cikgu tanya dia, baru dia jawab,” cerita Nurul Husna kepada Malaysiakini.
Aamily merupakan murid Sekolah Kebangsaan Permatang Tok Mahat. Ibunya, Nurul Husna binti Azon, 40, bekerja sebagai ketua jurutera kanan manakala bapanya, Mohd Zabari Izyan bin Zainal Abidin, 40, pula seorang penolong pengurus.
Menurut Nurul Husna, perubahan anaknya tidak berlaku dalam sekelip mata.

Menyedari Aamily seorang yang pemalu, dia dan suami mula mencari jalan untuk membiasakan anak mereka berdepan orang ramai.
“Kami cuba masukkan dia dalam aktiviti sekolah.
"Bagi dia biasa dengan pentas, masuk pakaian beragam, apa-apa saja yang melibatkan pentas memang saya akan tolak dia masuk,” katanya.
Perubahan mula kelihatan ketika Aamily berada di Tahun Dua.

Ketika itu, guru Sains melibatkannya dalam program inovasi yang memerlukan dia menghafal skrip dan membentangkan hasil ciptaan di hadapan juri.
Aamily kemudian menyertai pasukan tarian sekolah dan negeri. Sedikit demi sedikit, pentas tidak lagi terasa terlalu asing buatnya.
Lama-kelamaan, dorongan ibu bapanya bertukar menjadi kemahuan Aamily sendiri apabila dia mahu mencari pentas untuk menguji keyakinan dirinya.
“Dia request, dia cakap, ‘Umi, boleh tak cari dekat Aamily pertandingan apa-apa, tapi yang bahasa Inggeris?’
“Public speaking ke, choral speaking ke, tak kisahlah apa-apa pun. Janji dia boleh isi masa lapang,” kata Nurul Husna.

Permintaan itu menyebabkan ibunya mula “skrol” TikTok dan Facebook bagi mencari pertandingan yang sesuai.
Melalui seorang kenalan, keluarga berkenaan kemudian diperkenalkan kepada Blue Wave Cambridge English Network (BWCEN) dan Dr Devi, yang membimbing mereka mengenai penyertaan pertandingan tersebut.
Topik robot
Perjalanan Aamily bermula dengan pusingan kelayakan Malaysia yang dijalankan secara dalam talian.
Berhadapan tiga juri dari United Kingdom menerusi Zoom, dia menyampaikan ucapan mengenai topik yang dekat dengan minatnya, robot.

“Dia dapat gold. Kami pun tak expect dia dapat gold. Macam first time, okay nak isi masa lapang kan.
“Lepas itu dia dapat gold, Alhamdulillah, dan dia dapat pergi ke Dubai Global Final pada bulan Februari,” kata ibunya.
Di Dubai, cabarannya meningkat. Aamily bukan sahaja perlu menyampaikan ucapan kira-kira lima minit mengenai kelestarian alam, malah diberikan topik spontan berkaitan kitar semula.
Dia hanya mempunyai 10 minit untuk menyusun fikiran sebelum kembali berdepan juri dan menyampaikan ucapan spontan selama seminit.
Penyertaannya dalam Dubai Global Final membuahkan pingat perak. Dia kemudian meneruskan langkah ke pusingan selanjutnya iWISE London Global Final 2026 pada Ogos ini.
Kos tinggi buat keluarga ‘fikir-fikir’
Perjalanan ke United Kingdom bukan keputusan mudah buat keluarga Aamily. Menurut Nurul Husna, tiket penerbangan untuk empat orang sahaja mencecah hampir RM13,000.
Katanya, keluarga itu kemudian mendapat bantuan kemudahan penginapan selama 10 hari menerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), sekali gus membantu mengurangkan sebahagian kos perjalanan.
“Kalau tak ada penempatan, memang kami pun berfikir-fikir untuk pergi sebab kos itu sangat tinggi.
“Flight ticket pun dah dekat RM13,000 empat orang,” katanya.
Nurul Husna dan suaminya juga terpaksa mengambil cuti tahunan serta cuti tanpa gaji bagi menemani anak mereka.
Kalau lupa ‘goreng’
Menjelang pertandingan, Aamily menjalani latihan selama dua bulan, termasuk bersama Dr Devi dan jurulatihnya, Aimy Fatin Suhana Yusof.
Dia kembali memilih robot sebagai topik ucapannya—bidang yang dianggap menarik dan memang diminatinya.
Namun, di sebalik kesungguhan berlatih, jawapan Aamily ketika ditemu bual tetap mencerminkan sifat kanak-kanak seusianya.

Ditanya apa yang akan dilakukannya sekiranya terlupa skrip di atas pentas, dia menjawab ringkas:
“Kalau macam tu saya teruskan saja.”
Bagaimana pula jika benar-benar lupa?
“Gorenglah (olah ucapan serta-merta),” katanya.
Aamily turut ditanya kenapa dia enggan berganjak meninggalkan dewan bagi mengejar kereta api kerana menunggu keputusan persembahan terbaik sedangkan dia sudah menerima anugerah emas dalam kategori pengucapan awam.
“Ranking lah. Yang itu susah dapat,” jawabnya.
Demam selepas pertandingan
Bagaimanapun, selepas selesai bertanding, Aamily mengalami demam dan menggigil sehingga tidak mampu bangun selama dua hari.
Keadaan itu menyebabkan dia terpaksa melepaskan beberapa acara sampingan, termasuk International Night.
Ibunya percaya keletihan perjalanan, cuaca panas dan tempoh menunggu giliran yang panjang ketika pertandingan mungkin antara punca keadaan Aamily selepas acara tersebut.
Namun, apabila ditanya jika dia sedih kerana terlepas acara berkenaan, Aamily sekadar menjawab dia tidak terlalu kecewa.
Katanya, dia tidak dapat melupakan universiti yang disifatkannya “cantik” dan peluang berkawan dengan peserta dari negara lain.

Kini, Aamily sudah kembali ke sekolah dan perlu membahagikan masa antara akademik, tuisyen serta aktiviti tarian.
Tahun ini juga penting buatnya kerana dia bakal menduduki Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK).
Menurut Nurul Husna, pihak sekolah khususnya guru besar SK Permatang Tok Mahat, Rosli Ahmad, memberikan sokongan penuh sepanjang perjalanan Aamily, termasuk ketika dia terpaksa meninggalkan kelas bagi menyertai pertandingan dan aktiviti lain.
Walaupun berjaya dalam public speaking, Aamily tidak bercita-cita menjadi penceramah. Dia memasang impian menjadi doktor kanak-kanak.

Apabila ditanya sebabnya, dia menjawab dengan ceria, "sebab saya suka tolong budak-budak.”
Kepada kanak-kanak lain yang mungkin seperti dirinya dahulu, mengetahui jawapan tetapi terlalu malu untuk mengangkat tangan di dalam kelas — Aamily mempunyai pesanan ringkas:
“Tak apa, jangan malu. Depa (mereka) takkan gelak pun.
“Itu macam fikiran awak saja,” katanya.
Apabila ditanya bagaimana dia mahu menggambarkan perjalanannya daripada murid pemalu di Permatang Tok Mahat sehingga berdiri di pentas antarabangsa di United Kingdom, Aamily terdiam seketika.
Kemudian dia memberikan dua patah perkataan dalam bahasa Inggeris.
“Never imagined (tak pernah terbayang),” katanya lagi.
