Pertandingan tiga penjuru antara calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), DAP dan Barisan Nasional (BN) dijangka berlaku di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jalong atau Jelapang, kedua-duanya di Perak, dalam pilihanraya umum ini.

Masalah ini bakal muncul susulan kegagalan rundingan antara PSM dan DAP di kerusi-kerusi tersebut, kata setiausaha agung PSM, S Arulchelvan.

"Kami mahukan satu daripada (dua) kerusi tersebut berdasarkan sokongan pengundi dan kedudukan undi kedua terbanyak dalam pilihanraya umum lalu.

"Saya berharap DAP memberi laluan kepada calon PSM, bagi mengelak pertandingan tiga penjuru.

"Bagaimanapun, PSM sudah bersedia untuk menghadapi pertandingan tiga penjuru dengan DAP dan BN," katanya hari ini.

nasir hashim Sebelum itu, pengerusi PSM Dr Mohd Nasir Hashim melancarkan manifesto PSM "Bersama Membina Kuasa Rakyat" di Dewan Perhimpunan Cina Selangor di ibu negara pagi tadi.

Di majlis yang sama, semua calon PSM juga mengisytiharkan harta masing-masing.

Arulchelvam mengumumkan tiga calon PSM iaitu Dr Nasir di DUN Kota Damansara dan beliau sendiri di Semenyih (kedua-duanya di Selangor), manakala Michael Jeyakumar Devaraj di parlimen Sungai Siput (Perak).

Ketiga-tiga mereka akan menggunakan lambang PKR. Sementara kerusi Jalong atau Jelapang belum dapat dipastikan dan ada kemungkinan atas tiket bebas.

PSM bercadang meletakkan timbalan pengerusinya Sarasvathy Muthu sebagai calon di kerusi yang diperebutkan dengan DAP itu.

Jeyakumar berkata, isu-isu yang dibawanya dalam kempen kali ini termasuklah penswastaan perubatan dan pendidikan serta tuntutan gaji minima.