Selepas hampir lima hari menanti dengan penuh debaran, keluarga N. Kalaiselvi yang dilaporkan hilang dalam banjir kilat dan tanah runtuh di Nepal merayu agar kerajaan dapat membawa pulang mangsa walau dalam apa jua keadaan.
Anaknya Kritikaa Joyce De Brito berkata mereka menghargai komitmen kerajaan Malaysia yang sedang mengusahakan misi mencari dan menyelamat namun pada masa sama mengakui harapan keluarga semakin pudar memandangkan tempoh mangsa terperangkap di kawasan bencana sudah terlalu lama.
“Walaupun mereka ditemukan, mungkin mereka terkandas di dalam hutan atau tertimbus di bawah lumpur yang dalam... peluang untuk hidup sangat tipis.
“Oleh itu, permintaan kami adalah mereka dibawa pulang. Tidak kira dalam apa jua keadaan, sama ada hidup atau tidak, kami berharap mereka dikembalikan kepada kami di Malaysia,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri taklimat tertutup waris mangsa di Wisma Putra di Putrajaya hari ini.
Kalaiselvi, 65, antara 27 rakyat Malaysia yang ke Gunung Kailash di Tibet, China bagi melaksanakan upacara keagamaan menerusi kumpulan yang diuruskan sebuah agensi pelancongan tempatan sebelum dilaporkan terputus hubungan akibat tragedi itu di Daerah Rasuwa pada Rabu lepas.

Kritikaa berkata pada taklimat itu, kesemua ahli keluarga yang hadir mencapai kesepakatan supaya Kementerian Luar menyalurkan sebarang kemas kini rasmi dan maklumat sahih secara terus kepada waris terdekat.
Langkah itu bertujuan untuk mengekang penularan spekulasi atau maklumat palsu kepada umum yang boleh mengganggu emosi keluarga mangsa.
“Buat masa ini, kementerian sangat berhati-hati dengan apa yang dikeluarkan kepada umum dan kami faham kerana kami mahu mengelakkan sebarang spekulasi,” katanya.
Sebelum ini, Wisma Putra mengesahkan 72 rakyat Malaysia di Darchen, China dalam keadaan selamat dan sedang diberikan bantuan konsular manakala 55 lagi di Nepal masih gagal dihubungi.
- Bernama
