Seorang pemimpin kanan MCA Kedah melepaskan jawatan sebagai membantah pucuk pimpinan parti tidak menyenaraikan penyandang kerusi parlimen Padang Serai, Datuk Lim Bee Kau, dalam pilihan raya umum kali ini.

Datuk Goh Then Hock, seorang ahli perniagaan, turut meletakkan jawatannya sebagai pengerusi MCA bahagian Padang Serai.

"Saya mengambil tindakan ini (letak jawatan) atas dasar individu dan tidak melibatkan ahli lain dalam bahagian," beliau dipetik sebagai berkata kepada Bernama .

Tambahnya, presiden MCA Datuk Seri Ong Ka Ting minggu lepas memberitahunya bahawa Lim digugurkan atas alasan faktor kesihatan.

Bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kulim Datuk Boey Chin Gan bakal diletakkan di kerusi Padang Serai.

Surat peletakan jawatannya dilaporkan telah dihantar kepada Ong dan salinannya kepada setiausaha agung MCA Datuk Ong Ka Chuan dan pengerusi MCA Kedah, Datuk Beh Heng Seong.

Minggu lepas MCA bahagian itu menutup bilik gerakan pilihanrayanya sebagai membantah keputusan itu.