Pakatan pertubuhan Islam hari ini menyarankan majikan yang menghalang orang Islam menunaikan tanggungjawab agama seperti memakai tudung dan bersolat dikenakan tindakan, termasuk membatalkan lesen perniagaan.

Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela) dan Jawatankuasa Penyelaras Gabungan NGO Islam (ACCIN) turut mendesak kedudukan mahkamah syariah dinaiktaraf sama dengan mahkamah sivil dari segi perjawatan, penggajian dan kedudukan.

Dalam dokumen tuntutan kepada parti-parti yang bertanding dalam pilihanraya umum ke-12, dua gabungan besar ini turut mendesak kerajaan agar tidak melayan cadangan menubuhkan Jabatan Hal-ehwal Bukan Islam seperti pernah disarankan oleh sekumpulan badan bukan Islam tahun lalu.

Menurut dokumen tuntutan itu, syarikat yang didapati menyalahgunakan logo halal didesak dikenakan tindakan keras, termasuk disenaraihitamkan dan pemiliknya dihukum penjara.

yusri abim Dokumen tersebut, yang kini boleh dilihat di laman web Pembela (www.myislamnetwork.net), dibacakan oleh presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Yusri Mohamad dalam satu sidang media petang tadi.

Tuntutan-tuntutan lain yang meliputi bidang-bidang perundangan, pendidikan, politik, hubungan kaum dan moral, antaranya:

- Mengenakan tindakan kepada pihak yang mempersendakan Islam secara lisan, cetak atau melalui media elektronik dan media siber mengikut peruntukan di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan.

- Memperluaskan bidang kuasa jenayah dan mal mahkamah syariah melalui pindaan Akta Bidang Kuasa Jenayah (Mahkamah Syariah) 1984 dan Enakmen Pentadbiran Agama Islam negeri-negeri.

- Mewujudkan Akta Profesion Guaman Syarie bagi memperkemaskan penyeliaan peguam-Peguam syarie.

- Memberi kemudahan biasiswa kepada pelajar-pelajar Islam bukan berketurunan Melayu. Mengawal jumlah penerima biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bukan Islam agar tidak menjejaskan peluang pelajar Islam/Melayu.

- Menambah waktu pengajaran Islam di sekolah-sekolah rendah dan menengah kebangsaan.

- Menubuhkan satu jawatankuasa bersama yang dianggotai wakil-wakil pertubuhan Islam dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menapis permohonan membina rumah ibadat bukan Islam di kawasan majoriti Islam.

- Menolak faham pluralisme agama yang mendakwa bahawa semua agama adalah sama dari segi kebenarannya sehingga menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat berbilang agama.