Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Tidak benar Madinah tidak dipanggil, bekas ketua audit disepina'
Diterbitkan:  Sep 3, 2026 12:34 PM
Dikemaskini: 7:46 AM

Seorang ahli suruhanjaya siasatan diraja (RCI) Tabung Haji berkata adalah tidak benar bahawa bekas ketua audit negara Madinah Mohamad tidak diberi peluang untuk memberi keterangan semasa siasatan dijalankan.

Semasa sesi dialog mengenai skandal Tabung Haji hari ini, Rashid Hussain - yang kini pengerusi dana tersebut - berkata Madinah diberikan sepina untuk memberi keterangan pada 3 Jun 2022.

"Madinah diberikan sepina, jadi apa yang dia katakan adalah tidak benar," katanya bagi menjawab soalan daripada hadirin mengenai dakwaan tersebut.

Madinah sebelum ini berkata dia hadir pada hari yang sepatutnya untuk memberi keterangan dan menunggu lebih 30 minit tetapi akhirnya tidak dipanggil masuk.

Madinah Mohamad

Sehubungan itu, dia mendakwa haknya untuk didengar dan peluang untuk menjawab laporan RCI, yang mengkritik jabatannya kerana kurang tegas dalam tempoh tertentu telah dinafikan.

Menjelaskan situasi tersebut, Rashid berkata bekas ketua audit negara itu meminta untuk hadir bersama dengan timbalan pengarah bahagian audit kewangan ketika itu, Mona Othman.

Dia berkata RCI menolak perkara ini atas alasan pemeriksaan dijalankan secara individu.

Sebaliknya, Rashid berkata suruhanjaya memanggil Mona untuk memberi keterangan pada 2 Jun, sehari sebelum Madinah dijadualkan hadir.

Walau bagaimanapun, dia tidak menjelaskan sebab mereka tidak meneruskan sesi pemeriksaan ke atas Madinah pada 3 Jun.

Selain itu, katanya RCI turut memberi peluang kepada Madinah untuk mengemukakan jawapan bertulis kepada 75 soalan, yang diserahkannya melalui akuan berkanun.

“Beliau telah mengemukakan jawapannya kepada 75 soalan tersebut, bersama-sama dengan surat iringan dan semua ini direkodkan dalam rekod kenyataan saksi kami.

“Oleh itu, tidak benar untuk mengatakan bahawa beliau tidak mempunyai peluang untuk diwakili atau memberikan pandangannya.

"Dia mengemukakannya pada 1 April... Saya berharap kenyataan bahawa ia dilakukan pada 1 April tidak dianggap olehnya sebagai gurauan April Fool," katanya.

Pada 25 Ogos lalu, Madinah mendakwa RCI mungkin mencapai penemuan yang berbeza jika dia dipanggil untuk memberi keterangan di hadapan suruhanjaya tersebut.

Madinah, yang berkhidmat sebagai ketua uudit negara dari 2017 hingga 2019, berkata Laporan Ketua Audit Negara 2017 yang disediakan oleh pasukannya, tidak mengenal pasti sebarang bukti kecurian secara langsung yang melibatkan TH.

Pada 29 Julai, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah menerbitkan Laporan RCI setebal 211 muka surat, berhubung siasatan ke atas pengurusan dan operasi TH dari 2014 hingga 2020.

Laporan itu menggariskan pelbagai penemuan mengenai kelemahan dalam pengurusan institusi berkenaan sepanjang tempoh tersebut dan mengemukakan 25 syor penambahbaikan, yang mana 75 peratus daripadanya telah dilaksanakan oleh TH setakat 30 Julai lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS