Sepuluh tahun usia perkahwinan yang sepatutnya diraikan dengan hadiah dan masa bersama bertukar menjadi penantian buat Hani Othman apabila suaminya, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa masih belum dapat dikesan selepas dilaporkan hilang dalam tragedi banjir di Rasuwa, Nepal pada 26 Ogos lepas.
Bersempena dengan ulang tahun perkahwinan mereka hari ini, Hani menerusi hantaran di Facebook meluahkan harapan agar suaminya yang lebih mesra disapa Loe pulang seperti yang dijanjikan.
“Abang patut balik hari ini, abang dah janji nak bawa balik hadiah ulang tahun perkahwinan. Nervous (gementar) lah hadiah apa abang nak bagi tahun ini,” katanya dalam hantaran itu.

Bagi Hani, kepulangan Loe bukan sekadar untuk meraikan ulang tahun perkahwinan mereka, sebaliknya meneruskan pelbagai impian yang disusun bersama-sama.
Antaranya, pasangan itu sepatutnya menduduki peperiksaan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) pada 6 Sept ini sebelum melengkapkan kursus selam bagi mendapatkan kelayakan divemaster di Pulau Tioman pada Oktober.
Mereka turut merancang mendaki Gunung Rinjani, Indonesia pada Mei dan Kilimanjaro, Tanzania pada Ogos tahun depan, selain impian Loe untuk menawan puncak Everest yang mahu direalisasikannya bersama Hani.
“Sayang dah cakap kat abang kan kita akan berlatih sama-sama dan sayang akan teman abang kali ni sampai ke puncak Everest. Impian abang nak ke puncak Everest tak tercapai lagi ni. Tolonglah abang, where are you (di mana awak),” menurut Hani.

Mohd Fakhrul Munir, 44, yang juga anggota Pasukan Khas Udara Bomba (Paskub) dilaporkan hilang selepas kumpulan ekspedisi yang disertainya terjejas akibat banjir ketika mereka dipercayai berada di sebuah lembah di Rasuwa.
Turut dilaporkan hilang dalam ekspedisi sama Timbalan Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Mohd Sani Harul.
Dua hari selepas kejadian, Hani berlepas ke Kathmandu atas inisiatif sendiri bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai usaha mencari dan menyelamat suaminya, dan hari ini merupakan hari keenam beliau berada di Nepal.
Sepanjang berada di negara itu, Hani turut berkongsi perkembangan menerusi media sosial termasuk usaha mengumpulkan barangan keperluan untuk mangsa bencana, selain mendapatkan kebenaran memasuki kawasan terjejas bagi mengagihkan bantuan berkenaan.
Sebelum ini wanita itu juga menyuarakan hasrat untuk menyertai pasukan sukarelawan ke kawasan kem yang menempatkan mangsa terselamat, dengan harapan dapat bertemu suaminya.

Mohd Fakhrul Munir merupakan antara rakyat Malaysia yang masih gagal dihubungi selepas banjir melanda Nepal, dengan usaha mengesan kumpulan berkenaan masih diteruskan.
Sebanyak 55 rakyat Malaysia dilaporkan masih gagal dihubungi susulan bencana yang berlaku pada 26 Ogos, manakala 77 lagi yang dikesan selamat di Tibet dan Nepal sudah dibawa ke Kathmandu untuk menjalani proses sebelum pulang ke Malaysia.
Agensi Anadolu melaporkan angka korban akibat bencana itu meningkat kepada 1,220 orang manakala 4,762 orang termasuk 844 warga asing masih hilang.
- Bernama
