Menteri Besar Perak, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Hulu dalam pilihanraya umum kali ini.

Tajol Rosli dilantik menjadi Menteri Besar Perak pada 3 Disember 1999 setelah memenangi DUN Kenering pada Pilihanraya Umum 1999.

Ketika mengesahkan perkara tersebut, Tajol Rosli berkata beliau telah menemui Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kelmarin dan beliau kekal di Pengkalan Hulu.

Bagaimanapun, katanya, ini mungkin kali terakhir saya bertanding di Pengkalan Hulu," katanya di Pengkalan Hulu, Gerik, Perak semalam.

Sebelum ini, Menteri Besar Perak itu dikatakan tidak akan bertanding kerusi negeri tetapi berpindah ke kerusi Parlimen.

Katanya, BN Perak akan mengemukakan 28 muka baru untuk bertanding kal ini - 18 calon Umno (12 DUN, 6 Parlimen) dan 10 calon MCA (7 DUN, 4 Parlimen).

Pada 2004, Umno Perak yang bertanding di 34 kerusi negeri telah mengemukakan 21 calon muka baru. Umno menang di semua kerusi yang ditandinginya.

Slogan BN Melaka: "Bersama mencipta sejarah'

Untuk pertamakalinya, Barisan Nasional (BN) Melaka memperkenalkan slogan di peringkat negeri dalam usahanya untuk menyapu bersih kesemua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan enam kerusi Parlimen.

Dalam pilihanraya umum lalu, Melaka menang di 26 kerusi DUN dan kesemua enam kerusi parlimen.

Dua kerusi DUN yang dimenangi DAP ialah Kota Laksamana dan Bandar Hilir, kedua-duanya dalam Parlimen Kota Melaka.

Menurut Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, ia bertujuan merangsang rakyat negeri itu menyokong BN dalam pilihanraya umum 8 Mac ini.

Menurutnya, slogan yang dipilih ialah "Bersama Mencipta Sejarah".

Kali ini, BN Melaka memperkenalkan 14 muka baru untuk bertanding bagi 13 kerusi DUN dan satu Parlimen.

Mohd Ali berkata, BN Melaka memperolehi undi popular sebanyak 72 peratus pada 2004 yang mengatasi peratus nasional.

"Saya yakin kita boleh merampas dua buah kerusi DUN di tangan pembangkang iaitu DAP," katanya selepas senarai nama calon BN Melaka semalam.

P'raya: Rosli Mat Hassan janji beri sokongan

Walaupun digugurkan, bekas ahli Parlimen Dungun, Datuk Dr Rosli Mat Hassan berjanji memberikan sokongan bagi memastikan calon Barisan Nasional (BN) menang dalam pilihanraya umm 8 Mac ini.

Katanya, beliau akur dengan keputusan pucuk pimpinan yang menggantikannya dengan muka baru, Matulidi Jusoh.

Dalam 2004, Rosli yang merupakan Pengerusi Yayasan Pelajaran Mara (YPM) menewaskan calon PAS, Datuk Mustapha Ali dengan majoriti 4,896 undi.

Lima belas daripada 40 calon yang dikemukan BN Terengganu kali ini adalah muka baru, termasuk seorang calon wanita, Senator Nordiana Shafie yang juga Ketua Puteri Umno negeri.

Dua belas muka baru itu akan bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala tiga lagi bagi kawasan Parlimen.

Nordiana ketika ditemui melahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada pucuk pimpinan kerana memberikannya kepercayaan untuk bertanding kerusi DUN

Batu Burok.

Lulusan Sarjana Syariah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, beliau akan bekerja keras untuk merampas kembali kerusi itu yang dimenangi calon PAS, Datuk Wan Abdul Muttalib Embong pada 2004.

Seorang lagi muka baru, Othman Awang, 49, yang juga bekas Penolong Pegawai Daerah Kuala Terengganu, akan bertanding di DUN Wakaf Mempelam, yang merupakan antara kubu kuat PAS di Terengganu. Ia dimenangi calon PAS, Abdul Wahid Endut pada 2004.

Razali Idris, 42, seorang lagi muka, juga yakin BN mampu merampas kerusi DUN Rhu Rendang, yang diwakili Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sejak lebih 25 tahun lalu.