Parti Bersatu India Malaysia (MIUP) turut membantu jentera Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya umum kali ini dan Presidennya, Datuk S Nallakaruppan masyarakat yang ditemuinya masih memberi kepercayaan kepada BN dan menolak parti pembangkang.

nallakarupan 220307 Malah, katanya, Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak akan mampu meraih simpati pengundi India dalam pilihanraya umum 8 Mac depan.

Nallakaruppan pernah menjadi Ketua PKR Bahagian Kepong tetapi bertindak keluar parti pada 25 Mei tahun lalu kerana mendakwa PKR tidak berminat membantu masyarakat India.

Beliau kemudian menubuhkan MIUP pada 26 November lalu.

Nallakaruppan mendakwa, penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim kini berusaha meraih simpati pengundi India selepas ramai kaum Melayu enggan memberi sokongan kepada PKR.

"Dulu Anwar berusaha mendapatkan undi Melayu tetapi kini beliau beralih arah untuk mendapatkan pengundi India pula, tetapi dia tidak boleh tipu kaum India yang kini lebih bijak," katanya kepada Bernama.

Menurutnya, dalam beberapa ceramah, Anwar menyamakan dirinya dengan hero dalam filem Tamil 'Sivaji The Boss' yang menjadi penyelamat kepada masyarakat.

"Sepanjang saya mengenali Anwar, saya tahu banyak yang salah. Dia tidak boleh jadi Perdana Menteri di negara ini malah dia nak bermimpi pun tidak boleh" katanya.

Katanya jika Anwar menjadi Perdana Menteri sekalipun, beliau pastinya tidak akan menjaga kepentingan rakyat tetapi lebih memikirkan tentang kepentingan peribadi.