Pemuda: Kami tidak edar VCD seks Anwar
Pemuda Umno menafikan ahli dan penyokong mereka mengedarkan cakera padat video (VCD) lucah membabitkan bekas timbalan perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjelang kempen pilihanraya umum ke-12.
Naib ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin mendakwa, beliau tidak tahu-menahu mengenai rakaman video tersebut.

"Saya tidak tahu mengenai video tersebut... saya tidak tahu orang edar pita video tersebut. Awak ada pita itu?" katanya ketika ditemui selepas melancarkan bilik gerakan Pemuda BN parlimen Lembah Pantai kelmarin.
Khairy diminta mengulas dakwaan ketua angkatan muda PKR, Shamsul Iskandar Md Akin, bahawa Pemuda Umno sedang mengedarkan pita video seks untuk memburuk-burukkan ketua umum parti itu.
Baru-baru ini dalam satu sidang media, Shamsul Iskandar mendakwa, pengedaran video tersebut sudah bermula sejak sebulan lalu di seluruh negara, termasuk di Sabah.
"AMK telah berjaya mengesan pengedaran video tersebut dan kita sudah memperolehi beberapa unit VCD tersebut.
"Video tersebut serupa dengan apa yang diedarkan oleh Pemuda Umno dalam pilihanraya umum lalu," katanya.
Sementara itu, ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Paduka Norza Zakaria pula berkata, dakwaan bahawa Pemuda Umno mengedarkan pita video tersebut adalah fitnah semata-mata.
Katanya, apabila pembangkang dalam keadaan terdesak, mereka sanggup melakukan apa sahaja termasuk menabur fitnah.