BN K'tan janji lonjakan berganda
"Kelantan Baru, Kelantan Maju" menjadi tema Barisan Nasional (BN) untuk membuktikan kesungguhan parti itu dalam membawa Kelantan membangun secara lonjakan berganda.
Pengerusi badan perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Annuar Musa berkata BN mengambil pendekatan "lunak" dan tidak lagi bersikap memburukkan kerajaan negeri dan tokoh kepimpinan PAS.
"Bukti pendekatan itu dapat dilihat kesungguhan BN melalui kerajaan pusat untuk tidak meminggirkan negeri-negeri Pantai Timur, termasuk Kelantan daripada tertinggal dalam arus pembangunan," katanya dalam laporan Bernama .
"Kelantan Baru, Kelantan Maju" menjadi tema Barisan Nasional (BN) untuk membuktikan kesungguhan parti itu dalam membawa Kelantan membangun secara lonjakan berganda.
Pengerusi badan perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Annuar Musa berkata BN mengambil pendekatan "lunak" dan tidak lagi bersikap memburukkan kerajaan negeri dan tokoh kepimpinan PAS.
"Bukti pendekatan itu dapat dilihat kesungguhan BN melalui kerajaan pusat untuk tidak meminggirkan negeri-negeri Pantai Timur, termasuk Kelantan daripada tertinggal dalam arus pembangunan," katanya dalam laporan Bernama .
Sehubungan itu, manifesto BN adalah sejajar dengan konsep "Islam Manhaj, Kelantan Mithali".
Difahamkan BN akan menampilkan 11 isu utama demi faedah rakyat negeri ini, antara perkara yang terkandung dalam manifesto BN itu ialah memartabatkan agama Islam sebagai agama rasmi di negara ini, memantapkan pentadbiran kerajaan, membangunkan sektor ekonomi dan menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat yang terpaksa berhijrah ke negeri-negeri lain termasuk ke Singapura untuk mencari pekerjaan kerana peluang pekerjaan yang terhad di negeri ini.
Selain itu manifesto BN itu juga mengandungi janji BN untuk mengatasi masalah kemiskinan yang membelenggu rakyat Kelantan sekian lama.
Program pembangunan wanita, program pembangunan bukan Melayu dan golongan minoriti, merancakkan pembangunan infrastruktur dan memoden serta menggiatkan sektor pertanian dan perikanan juga antara sebelas perkara yang terkandung dalam manifesto berkenaan.
Selain 11 isu utama itu termasuk, jangkaan BN Kelantan sekiranya berjaya menakluk Kelantan pada pilihan raya umum kali ini adalah untuk menghapuskan cukai bandar, menghapuskan cukai kepala bakul, mengkaji cukai tanah, menyelesaikan hak milik tanah dan memberi wangsara hidup kepada warga emas yang miskin.
BN juga akan mengadakan program pembinaan rumah Projek Pembangunan Rumah Termiskin (PPRT), menghapuskan tunggakan air dan mengadakan program bantuan khas pelajar cemerlang dan miskin.
Sehubungan itu, BN Kelantan turut merancang tujuh gagasan Umno Kelantan sebelum 2015.
Perkara utama yang terkandung dalam tujuh gagasan berkenaan adalah mengenai bidang pendidikan yang bernilai RM2 billion untuk menubuhkan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Kolej Matrikulasi, Kolej Komuniti, Institut Latihan Perindustrian, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan sekolah berasrama penuh.
Selain itu pembinaan Lebuhraya Kota Baharu-Kuala Krai berharga RM1.4 bilion, pembinaan Lebuhraya Pantai (Besut-Pengkalan Kubor), menaik taraf pesisir pantai dari Tok Bali-Pengkalan Chepa dan jalan-jalan utama dan pembinaan jambatan baru menggantikan Jambatan Sultan Yahya Petra juga merupakan perancangan BN dalam usaha memajukan infrastruktur perhubungan dan komunikasi di negeri ini.
BN Kelantan juga akan meningkatkan industri minyak dan gas dengan mengadakan projek penyaluran minyak dan gas dari Yan, Kedah ke Bachok bernilai RM24 bilion.
Selain itu pertanian dan industri asas tani turut menjadi agenda BN dengan pembinaan terminal makanan negara.
Sumber semulajadi Kelantan dari pantai, hutan dan sungai akan diraih sepenuhnya untuk kepentingan rakyat dan memajukan hub pelancongan di negeri ini.
Selain itu sebanyak RM1.5 bilion diperuntukkan untuk projek tebatan banjir iaitu membina tambak banjir di lembah Sungai Kelantan dan Sungai Golok serta sebuah empangan di Nenggiri, Gua Musang.
BN Kelantan juga akan mengadakan hub "perdagangan sempadan" yang merupakan kegiatan ekonomi jangka panjang yang akan menjana pendapatan tinggi untuk rakyat.

