Drama orang kuat Perlis belum tamat
Mungkin penyokong Datuk Seri Shahidan Kassim sudah berasa lega selepas beliau tidak digugurkan, malah mempertahankan kembali kerusinya di DUN Tambun Tulang.
Namun negeri kecil di utara ini masih menyimpan siri-siri drama yang besar apabila rancangan mengumumkan senarai calon malam tadi terpaksa ditangguhkan hari ini.
Belum sempat Shahidan berbuat demikian, setiausaha agung Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad terlebih dahulu mengumumkan pencalonannya semula di kerusi Kangar dan empat kerusi DUN bawah parlimen itu.

Pengerusi BN Perlis, yang juga Menteri Besar, ternyata tidak selesa dengan pengumuman Radzi itu.
"Ada pihak lain yang telah umumkan dahulu senarai calon di Kuala Lumpur. Saya tak tahu macam mana dia boleh umum. Saya yang sepatutnya umumkan senarai itu sebab saya pengerusi BN negeri," beliau dipetik sebagai berkata.
Menurut
Utusan Malaysia
hari ini, majlis pengumuman senarai calon ditangguhkan akibat 'masalah teknikal' yang dicetuskan oleh Radzi tersebut.
Menurut akhbar itu lagi, beberapa lokasi di sekitar Perlis terutama di Tambun Tulang, bendera BN yang pada awalnya dipacak di merata-rata kawasan bersepah-sepah di tepi jalan raya.
Tiang-tiang bendera di sepanjang jalan raya pula dipatahkan, sementara beberapa bilik gerakan BN dirosakkan dan ditutup.
Insiden ini ada kaitannya dengan spekulasi Shahidan tidak lagi tersenarai sebagai calon pada pilihanraya ke-12.
Drama ini susulan babak lebih awal semalam apabila pemimpin-pemimpin Umno di tiga bahagian di negeri itu melepaskan jawatan di sebelah pagi tetapi kemudiannya menarik balik keputusan mereka setelah mendapat tahu Shahidan kekal sebagai calon.
Sumber-sumber media menyebut, berpuluh-puluh anggota jawatankuasa Umno telah melepaskan jawatan, dipercayai sebagai membantah keputusan pengerusi BN Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berhubung kedudukan Shahidan.
Senarai lengkap calon itu gagal diumumkan malam tadi, Shahidan dilaporkan berkata, antaranya untuk menyelesaikan isu peletakan jawatan beramai-ramai penyokongnya itu.
Bagaimanapun ketegangan politik Perlis, khususnya antara gergasi Kangar dan Arau ini, bukanlah baru.
Penghujung tahun lalu, Radzi sendiri bersuara secara terbuka mengkritik Shahidan, walaupun Menteri Besar itu tidak melihat sebarang "perpecahan" di peringkat negeri seperti disebut setiausaha agung Umno.