Antara yang menarik, penyokong BN resah pengerusi MIC Perak Datuk G. Rajoo digugurkan di DUN Hutan Melintang, Perak dan ada pihak tidak puashati Bendahari Umno Datuk Seri Azim Mohd Zabidi bertanding di kerusi Bukit Gantang.

Rahman Bakar kekal tidak bertanding

Desas-desus nama Datuk Abdul Rahman Bakar dicalonkan semula untuk mempertahankan kerusinya di Marang berakhir hari ini.

Selepa nama timbalan menteri itu digugurkan daripada senarai calon yang diumumkan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri IDris Jusoh pada Rabu, penyokong-penyokongnya Abdul Rahman berharap keputusan itu boleh diubah.

Mereka turut menyertai beberapa bantahan terhadap keputusan Idris dalam tempoh beberapa hari ini. Bagaimanapun harapan itu terkubur apabila watikah pelantikan calon telah diserahkan oleh setiausaha badan perhubungan Umno negeri, Datuk Rosol Wahid, dalam satu majlis di kediaman rasmi Menteri Besar hari ini.

Tidak puas hati bendahari Umno ke Bukit Gantang

Bendahari Umno Datuk Seri Azim Mohd Zabidi merupakan calon dari luar kawasan yang diletakkan bertanding kerusi parlimen di Perak dalam pilihanraya umum kali ini.

Azim adalah ketua bahagian Umno Bukit Bintang di Kuala Lumpur dan pertama kali bertanding dalam pilihanraya umum.

Beliau dicalonkan di parlimen Bukit Gantang, menggantikan ketua Wanita Gerakan Datuk Tan Lian Hoe yang berpindah ke kerusi parlimen Gerik.

Ekoran itu, dilaporkan timbul suara-suara yang tidak berpuas hati dengan pemilihan Azim bertanding di kerusi tersebut.

Ini kerana pemimpin bahagian berkenaan memang berhasrat supaya anak tempatan dipilih untuk bertanding kerusi tersebut.

Bagaimanapun, menurut Bernama , ketua bahagian Umno Bukit Gantang Datuk Mat Isa Ismail berkata, mereka merupakan kumpulan kecil yang akan kembali bersama-sama untuk memastikan kemenangan calon mereka.

"Walaupun Umno bahagian memang berhasrat untuk mendapatkan tempat tersebut tetapi keputusan pucuk pimpinan akan dipatuhi... Umno bahagian akan bersama-sama memastikan kemenangan besar kepada BN," katanya.

Menurutnya, Azim merupakan bendahari kebangsaan Umno dan keputusan pimpinan menempatkan beliau di Bukit Gantang akan mengukuhkan lagi Umno bahagian.

Manakala Azim dilaporkan berkata, beliau telah berjumpa dengan pimpinan dan akar umbi Umno bahagian Bukit Gantang berhubung isu tersebut.

"Saya maklumkan bahawa saya pun orang Perak (Batu Gajah)... saya punyai rakan dan saudara di Bukit Gantang. Masalah kecil yang timbul dijangka selesai sehari dua," katanya selepas satu perjumpaan calon BN di kediaman Menteri Besar Perak semalam.

Penyokong BN resah Rajoo digugurkan

Keputusan MIC menggugurkan pengerusi MIC Perak Datuk G. Rajoo daripada kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hutan Melintang di Perak, sedikit sebanyak telah meresahkan penyokong Barisan Nasional (BN), kata Timbalan Menteri Penerangan Datuk Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, ini kerana wakil rakyat selama empat penggal itu telah memberi perkhidmatan yang sangat baik kepada pengundinya.

MIC telah menamakan calon wanita, S. Thangasvari, 60, bagi mempertahankan kerusi DUN itu.

Beliau berharap para pengundi, khususnya pengundi India dan juga Melayu di kawasan itu, terus menyokong calon baru tersebut.

Katanya, keputusan MIC menggantikan calonnya itu dipercayai satu usaha untuk memberi peluang kepada muka baru.

Menjadi calon, kata Zahid, bukanlah keistimewaan tetapi kesinambungan tugas, satu tanggungjawab untuk memberi khidmat kepada rakyat.