Datuk Seri Najib Tun Razak, timbalan pengerusi BN, berpesan kepada penyokong-penyokong agar tidak mensabotaj kempen pilihanraya calon-calon parti itu jika wakil rakyat mereka digugurkan kali ini.

Mengulas kemungkinan sabotaj dari dalam BN sendiri, timbalan perdana menteri dilaporkan berkata hari ini: "Itu dah melangar disiplin parti.

najib tun razak 01 "Kalau setakat merayu dia pergi rumah Menteri Besar, atau cari Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, itu biasa, tapi kalau sampai dah sabotaj itu maknanya dia dah melampaui batas dan tindakan disiplin boleh diambil terhadap mereka."

Kejadian membantah calon-calon muka baru yang disenaraikan dan pengguguran penyandang-penyandang BN dilaporkan berlaku di banyak tempat di beberapa negeri, khususnya di Terengganu dan Perlis.

Malaysiakini semalam melaporkan beratus-ratus penyokong bekas wakil-wakil rakyat Terengganu mengadakan demonstrasi sejak beberapa hari lalu, termasuk di depan pejabat dan kediaman Menteri Besar, dan juga pengerusi BN negeri, Datuk Seri Idris Jusoh.

Sementara di Perlis, kira-kira 60 orang ahli jawatankuasa Umno melepaskan jawatan pagi semalam apabila wujud ura-ura pengerusi BN Datuk Seri Shahidan Kassim tidak disenaraikan dalam pilihanraya ke-12.

Bendera dan bilik gerakan juga dilaporkan dirosakkan.

Menurut Bernama , Najib menganggap rasa tidak berpuas hati berikutan pemimpin mereka digugurkan sudah menjadi perkara lumrah ketika pilihanraya umum.

Apabila ditanya kemungkinan wujud perubahan baru nama selepas senarai calon diumumkan, Najib dilaporkan berkata: "Apa (pun) boleh berlaku dalam pilihan raya tapi kita harap tak ada perubahan yang mengejut, sebab hal ini memberi tafsiran bahawa bila ada (yang) mendesak.. kita ini berubah, orang pun perhati juga.

"Jadi besok (hari kemudian) mereka akan berarak lebih ramai minta kita ubah keputusan pada masa akan datang. Jadi benda ni tidak akan ada kesudahan."

Hari ini di Perlis, parlimen Arau yang pada awalnya diberikan kepada senator Datuk Ismail Kassim, yang juga adik Menteri Besar, akhirnya diserahkan kepada Datuk Mastika Junaidah Husin.

Perubahan mendadak itu hanya selepas tiga jam senarai calon diumumkan oleh Datuk Seri Shahidan Kassim.

Di Kelantan, nama calon di dua kawasan parlimen yang diumumkan oleh BN pada Khamis tiba-tiba belum dapat disahkan semalam berikutan belum menerima keputusan mereka berdua.

Profesor madya Dr Abdullah Sudin dicalonkan untuk Pengkalan Chepa, manakala Datuk Abdul Halim Ahmad untuk Pasir Mas.

Menurut pengerusi BN Kelantan Datuk Seri Annuar Musa, keputusan tentang dua calon akan diketahui hari ini.

Sementara itu di Pulau Pinang, drama pertukaran calon di saat-saat akhir terus berlaku di kerusi DUN Sungai Dua.

Penyandang kerusi itu Datuk Jasmin Mohamad yang diumumkan kekal sebagai calon semalam untuk pilihanraya 8 Mac ini tetapi digugurkan tiga jam kemudian.

Beliau digantikan dengan nama baru Zulkiflee Yahya, ketua Pemuda Umno Tasek Gelugor.

Hari ini Jasmin dipilih semula bagi mempertahankan kerusi berkenaan selepas campur tangan pemimpin atasan parti.