Perubahan nama dalam senarai calon, khususnya dari Umno, bagi pilihanraya umum kali ini, pada saat-saat akhir dipercayai ada kaitan saringan yang dibuat oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR), pihak polis serta Jabatan Insolvensi Malaysia.

Menurut sumber-sumber Umno, sebahagian besar mereka yang terbabit adalah dari kalangan muka-muka baru di kebanyakan negeri yang 'tidak lulus' saringan tersebut.

Sebagai langkah terakhir, kata sumber-sumber tersebut, kepimpinan Umno negeri dan pusat terpaksa menggantikan nama-nama mereka sama ada dengan calon-calon yang digugurkan sebelum itu, atau bekas wakil rakyat sebelumnya.

Menurut mereka, ini kerana masalah kesuntukan masa untuk membuat saringan jika muka-muka baru yang lain disenaraikan untuk menggantikan mereka yang bermasalah.

Sumber-sumber itu berkata, selain gagal saringan tersebut, ada juga calon-calon yang ditukar pada saat-saat terakhir atas kehendak pihak atasan parti.

Perubahan nama yang agak ketara jelas berlaku di beberapa negeri, termasuk Terengganu dan Perlis.

Di Terengganu dan Perlis, perubahan tersebut telah menyebabkan ramai ahli Umno membuat bantahan.