Subra tidak lawan Samy di Sg Siput
Bekas Timbalan Presiden MIC, Datuk S Subramaniam tidak akan bertanding menentang Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu di kerusi Parlimen Sungai Siput.
Satu sumber mengesahkannya ketika ditanya mengenai laporan muka depan akhbar Tamil Makkal Osai hari ini.
Akhbar harian tersebut yang dikaitkan Subramaniam, membayangkan kemungkinan berlakunya pertembungan antara dua pemimpin veteran tersebut
Bekas Timbalan Presiden MIC, Datuk S Subramaniam tidak akan bertanding menentang Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu di kerusi Parlimen Sungai Siput.
Satu sumber mengesahkannya ketika ditanya mengenai laporan muka depan akhbar Tamil Makkal Osai hari ini.
Akhbar harian tersebut yang dikaitkan Subramaniam, membayangkan kemungkinan berlakunya pertembungan antara dua pemimpin veteran tersebut.
Sumber itu berkata, Subramaniam telah didatangi sebuah parti pembangkang sejurus selepas MIC mengumumkan senarai calonnya Rabu lalu.
"Parti itu menawarkan beliau bertanding kerusi Sungai Siput di bawah tiketnya," katanya, tetapi enggan menyatakan nama parti tersebut.
Difahamkan bahawa ada di kalangan penyokong Subramaniam yang mahu beliau menerima tawaran tersebut.
Mereka merasakan bahawa suasana politik semasa menyebelahi Subramaniam dan beliau mempunyai peluang cerah untuk menang kerusi tersebut, yang diwakili presiden MIC itu sejak tahun 1974.
Tetap setia pada BN
Menurut sumber itu lagi, Subramaniam menolak tawaran tersebut kerana beliau tidak mahu menentang Barisan Nasional (BN).
"Beliau sentiasa setia kepada BN," katanya.
Difahamkan juga bahawa Subramaniam akan ke Kepala Batas esok di mana Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan menyerahkan borang penamaan calonnya bagi kerusi Parlimen Pulau Pinang.
Subramaniam - seorang bekas ahli Parlimen dan Timbalan Menteri - digugurkan daripada senarai calon MIC oleh Samy Vellu dalam pilihanraya umum 1999.
Dalam pemilihan parti itu pada 2006, beliau ditewaskan oleh Datuk G Palanivel bagi jawatan timbalan presiden. Palanivel merupakan calon pilihan Samy Vellu.
Sejak beberapa minggu ke belakangan ini, terdapat spekulasi bahawa Subramaniam akan diberi kerusi untuk bertanding dalam pilihanraya umum 8 Mac depan.
Beberapa pihak berkata, ia merupakan sebahagian daripada strategi untuk meredakan kemarahan masyarakat India.
Selepas berlakunya perhimpunan anjuran Hindraf pada 25 November tahun lalu, timbul kebimbangan mengenai kemungkinan masyarakat India yang selama ini setia kepada BN, beralih menyokong pembangkang dalam pilihanraya kali ini.
MIC dan presidennya berdepan dengan tekanan hebat untuk memastikan masyarakat India terus menyokong BN.
Di Sungai Siput, Samy Vellu akan berdepan dengan pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM), Dr D Jayakumar.
Jayakumar akan bertanding di bawah tiket PKR kerana PSM belum didaftarkan lagi.

