Perbincangan di peringkat pemimpin tertinggi masih lagi berlangsung hari ini untuk mengelak pertembungan tiga penjuru antara DAP dan PKR dengan BN, tidak sampai 24 jam hari penamaan calon.

"Rundingan masih berlangsung di Kuala Lumpur," kata calon PKR di Stampin, See Chee How, kepada Malaysiakini tengah hari tadi.

Walaupun mendesak untuk bertanding di tiga daripada tujuh kerusi parlimen bermajoriti Cina, PKR sudah berpuas hati jika mendapat satu sahaja, Stampin.

Persetujuan telah dicapai pada Rabu dalam kalangan pemimpin tertinggi kedua-dua parti, termasuk setiausaha agung DAP Lim Guang Eng dan penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun selepas tekanan penyokong akar umbi, Lim keesokannya memaklumkan kepada Anwar bahawa DAP tidak mahu menyerahkan kerusi tersebut kepada rakan pembangkangnya.

DAP menamakan ahli DUN Batu Lintang, Voon Lee Shan, untuk bertanding di kerusi yang diminati PKR. Voon mengesahkan telah menerima watikah pelantikan daripada setiausaha agung DAP untuk bertanding.

Membantah sikap DAP itu, ketua perhubungan PKR negeri Dominque Ng Kim Ho, yang juga ahli DUN Padungan, mengugut untuk bertanding di kerusi Bandar Kuching yang disandang DAP Chong Chieng Jen.

See juga menyatakan hasratnya untuk bertanding di Stampin, mengambil risiko perlawanan tiga penjuru.