Bantahan terbuka penyokong-penyokong wakil rakyat BN, khususnya Umno, yang digugurkan terus berlanjutan hari ini walaupun jumlahnya kecil, termasuk terhadap pengerusinya dan juga Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Lebih 50 penyokong penyandang kerusi DUN Batu Maung, Ir Mansor Musa, dan anggota parlimen Bayan Baru, Datuk Wong Kam Hoong, secara terbuka menaikkan sepanduk berdemonstrasi di kompleks PISA, Pulau Pinang, untuk merayu Abdullah mengubah keputusannya, lapor Bernama .

Senarai calon Umno negeri itu diumumkan semalam - pendatang baru Norman Zahalan menggantikan Mansor, sementara calon baru Ooi Siew Kim menggantikan Wong.

Sebelum itu kediaman rasmi Abdullah di Putrajaya dan Pejabat Perdana Menteri (JPM) turut menjadi sasaran para penyokong wakil-wakil rakyat yang tidak berpuas hati.

Empat buah bas, bersama 240 penyokong seorang bekas anggota parlimen, sampai di Seri Perdana pada 10.30 malam Khamis. Mereka hanya meninggalkan kawasan itu hampir tengah malam selepas menyerahkan memorandum kepada seorang pegawai di JPM.

Sementara itu 40 penyokong seorang Menteri Besar pula "berkampung" dekat pondok pengawal depan JPM. Kumpulan penyokong tersebut, kebanyakannya berkereta besar, bergerak selepas menteri besar itu meninggalkan pejabat PM pada 11 malam.

Menurut laporan laman web The New Straits Times hari ini, seorang pegawai di JPM berkata beliau tidak pernah melihat insiden melobi sebegitu tegang sebelum ini daripada bakal calon dan para penyokong mereka.

Di Terengganu, beratus-ratus penyokong bekas wakil-wakil rakyat mengadakan demonstrasi sejak beberapa hari lalu, termasuk di depan pejabat dan kediaman Menteri Besar, dan juga pengerusi BN negeri, Datuk Seri Idris Jusoh.

Menurut sumber Umno negeri, bantahan yang berlarutan beberapa hari seumpama itu tidak pernah terjadi dalam sejarah politik di negeri itu.

Sementara di Perlis, kira-kira 60 orang ahli jawatankuasa Umno melepaskan jawatan awal pagi semalam apabila wujud ura-ura pengerusi BN Datuk Seri Shahidan Kassim tidak disenaraikan dalam pilihanraya ke-12.

Bendera, tiang bendera dan bilik gerakan juga dilaporkan dirosakkan.

Mereka bagaimanapun menarik balik keputusan itu setelah disahkan Shahidan bertanding kembali mempertahankan kerusi DUN Tambun Tulang.

Mengulas insiden-insiden bantahan tersebut, Abdullah berkata penyokong-penyokong BN tidak wajar berpecah-belah hanya semata-mata tidak berpuas hati dengan calon-calon yang dipilih pada pilihanraya umum 8 Mac ini.

"Sudah tiba masanya calon baru dipilih pula dan saya harap mereka dapat menerima keputusan ini. Saya harap semuanya akan berada dalam keadaan baik dan selepas semuanya selesai, anggota parti akan menyokong.

"Saya harap mereka hentikan kegiatan membantah apa yang telah menjadi keputusan bersama antara pemimpin mereka," beliau dipetik sebagai berkata di satu program di PISA.

Timbalan pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini turut mengingatkan para penyokong parti itu agar tidak mensabotaj parti walaupun tidak berpuas hati pemimpin mereka tidak disenaraikan.