Penyokong Umno, yang kecewa selepas wakil rakyat mereka Datuk Abdul Rahman Bakar digugurkan, sudah mula menyatakan sokongan kepada calon-calon parti itu, kata seorang daripada pendatang baru Datuk Dr Ahmad Ramzi Muhammad Zubir.

Dr Ahmad Ramzi yang menggantikan Abdul Rahman berkata, masalah tersebut akan pulih sepenuhnya menjelang hari penamaan calon esok.

"Masih ada satu dua tempat yang memprotes tetapi secara keseluruhannya telah reda. Mereka yang sebelum ini datang berjumpa Menteri Besar (Datuk Seri Idris Jusoh) sudah tidak lagi berbuat demikian.

"Ahli dan penyokong Umno di Marang sudah mula membuka bilik gerakan dan memasang semula poster Barisan Nasional (BN) yang sebelum ini mereka turunkan," katanya ketika ditemui Malaysiakini selepas majlis penyerahan watikah pelantikan calon hari ini.

Majlis itu disempurnakan oleh setiausaha badan perhubungan Umno Terengganu, Datuk Rosol Wahid, di kediaman rasmi Menteri Besar.

rahman bakar timbalan menteru sumber manusia Susulan kehadiran calon muka baru ini, penyokong-penyokong Abdul Rahman, yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia, mengambil tindakan menurunkan poster dan menutup bilik gerakan BN di kawasan-kawasan tertentu di sekitar kawasan parlimen termasuk di Kampung Gelugor Kedai dan Bukit Payong.

Dr Ahmad Ramzi, 36, merupakan setiausaha politik Menteri Besar dan berkelulusan Universiti Al-Azhar.

Katanya, beliau yakin boleh mencapai kemenangan yang lebih besar daripada yang diperolehi oleh Abdul Rahman dalam pilihanraya umum 8 Mac ini walaupun terpaksa berdepan dengan presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Pada 2004, Abdul Rahman berjaya merampas kerusi tradisi Abdul Hadi dengan majoriti kecil, 163 undi.

"Kalau kita wakil rakyat tetapi tidak dapat memberi apa-apa kepada rakyat, ia tidak memberi sebarang erti," kata Dr Ahmad Ramzi, mengulas tentang calon pembangkang.

Abdul Hadi juga akan mempertahankan kerusi Rhu Rendang yang dimenanginya dalam pilihanraya umum lalu.

Sementara itu, ketua Puteri Umno negeri, senator Nordiana Shafie juga melahirkan keyakinannya untuk merampas kerusi DUN Batu Buruk daripada PAS.

Selain Rhu Rendang, kerusi ini satu daripada empat kerusi yang akan dipertahankan oleh PAS. Dua lagi kerusi, Wakaf Mempelam dan Manir.

Batu Buruk dikuasai selama beberapa penggal oleh pemimpin kanan PAS negeri dan juga penasihat guaman parti itu, Datuk Wan Muttalib Embong.

"Walaupun ia merupakan kubu kuat PAS, tetapi pengundi sudah mula berubah menyatakan sokongan kepada BN," kata Nordiana, seorang daripada 18 calon muka baru BN.

Wan Muttalib, yang menang tipis 140 undi dan tidak bertanding kali ini, digantikan dengan ahli jawatankuasa pusat PAS Dr Syed Azman Ahmad Nawawi, yang pernah memenangi kerusi parlimen Kuala Terengganu pada 1999.

Anak kelahiran Kuala Terengganu ini bagaimanapun gagal mempertahankan kerusi itu pada 2004. Batu Buruk satu daripada empat kerusi bawah kawasan parlimen tersebut.

Di majlis penyerahan watikah, Rosol berkata, walaupun masih ada ahli Umno yang tidak berpuas hati dengan calon-calon baru, tetapi bantahan-bantahan itu semakin berkurangan.

"Apa yang lebih penting ialah calon-calon yang digugurkan berjanji bantu berkempen untuk calon baru BN.

"Saya percaya masalah protes yang berlaku di beberapa tempat termasuk di Marang akan berakhir sepenuhnya esok," katanya.

Sebanyak 32 kerusi DUN dan lapan kerusi parlimen jadi rebutan dua parti politik Melayu itu, bersama PKR.