kemaskini 11pm DAP dan PKR, dua parti yang terlibat dalam pakatan pembangkang untuk strategi 'satu lawan satu', berdepan sesama sendiri di empat kerusi parlimen dan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Seperti dijangka, DAP dan PKR meletakkan calon masing-masing bagi mencabar BN di Stampin, satu daripada tujuh kawasan parlimen bermajoriti Cina di Sarawak.
DAP menamakan Voon Lee Shan, sementara PKR mengisi See Chee How untuk berlawan dengan calon BN Datuk Yong Khoon Seng.
Dua parti pembangkang itu juga bertembung di kerusi Miri. Calon DAP Wong Ho Leng berlaga dengan calon PKR Lim Chin Chuang bagi berdepan dengan calon BN Datuk Robert Lau Hoi Chew.
Ramalan awal, dua parti pembangkang itu bakal bertembung di empat kerusi. Bagaimanapun rundingan saat akhir semalam dipercayai berjaya mengurangkan risiko tersebut.
Seperti ramalan, kerusi DUN Derga di Kedah juga menyaksikan persaingan dua parti pembangkang itu.
Calon PKR Cheung Khai Yen, penyandang kerusi itu yang melompat dari Gerakan selepas digugurkan sebagai calon BN, melawan calon DAP, Teoh Teik Guan dan BN Dr Cheah Soon Hooi.
Di Sabah, dua kerusi parlimen dan dua kerusi DUN melibatkan persaingan PKR dan DAP - masing-masing di Sepanggar dan Kota Kinabalu, dan juga Tanjung Aru dan Luyang.
Ewol Muji @ Edward Ewol Mujie dari DAP melawan Mohd Ibrahim Abdullah @ Yembun (PKR) untuk berdepan Enchin Majimbun @ Eric (BN).
Bekas bendahari pusat PKR Christina Liew Chin Jin bersaing empat penjuru dengan calon DAP Hiew King Chiew dan juga Chin Tek Ming (BN) serta Kong Yu Kiong (bebas).
Calon BN Edward Yong Oui Fah ditentang Awang Ahmad Shah (PKR) dan Yang Chan Tsze @ Teddy Yang (DAP) di Tanjung Aru.
Calon PKR Alexander Wong Yun Kong berdepan lagi dengan calon DAP Fung Kong Win di DUN Luyang bersama calon BN Melanie Chia Chui Ket dan bebas Chin Fung Vui @ Bernard.
Kebanyakan persaingan tiga atau lebih penjuru di kerusi-kerusi lain melibatkan calon bebas, khususnya di Sabah.
Sebanyak 66 calon bebas mencuba nasib kali ini.
Kerusi-kerusi parlimen lain yang menyaksikan persaingan tiga penjuru termasuklah Lembah Pantai, Sungai Siput, Rantau Panjang dan Kelana Jaya.
Lembah Pantai pula menyaksikan persaingan gergasi wanita BN Datuk Shahrizat Jalil ditentang 'Puteri Reformasi', Nurul Izzah Anwar (PKR). N Periasamy turut bertanding atas tiket bebas.
Periasamy, bekas timbalan pengerusi MIC Bukit Bintang, mendakwa bersimpati dengan perjuangan Hindraf.
Presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu dicabar tokoh parti PSM Michael Jeyakumar Devaraj yang bertanding atas tiket PKR. Mereka disertai calon bebas Nor Izan Onn.
Menurut maklumat SPR, pertandingan tiga penjuru terjadi di 23 kawasan parlimen, empat penjuru (tujuh) dan lima penjuru (dua).
Bagi kerusi DUN, persaingan tiga penjuru berlaku di 41 kawasan, empat penjuru (17), lima penjuru (lima) dan lapan penjuru (2).
Pertandingan satu lawan satu di 183 kawasan parlimen dan 437 DUN.
Sebanyak 10 kerusi sudah dimenangi tanpa bertanding kali ini, berbanding 29 kerusi pada 2004.
